POLITIK

Pemerkasaan Ekonomi Dan Pendidikan Harapan Komuniti India DUN Mahkota

18/09/2024 03:34 PM

KLUANG, 18 Sept (Bernama) -- Pengundi India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berharap wakil rakyat baharu yang akan dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu nanti akan terus memastikan kebajikan berkaitan golongan itu terbela. 

Mereka yang ditemui Bernama berkata antara perkara yang menjadi keutamaan ialah memperluas peluang pendidikan kepada pelajar dan remaja India, selain memperkasakan sektor ekonomi setempat yang melibatkan kaum berkenaan.

Kakitangan swasta Alloycius Leroy, 29, berkata peluang pendidikan yang lebih baik tidak dinafikan dapat membuka peluang pekerjaan seterusnya membantu mereka memberi kehidupan lebih stabil kepada keluarga pada masa hadapan. 

"Peluang dan bantuan lain kepada komuniti India juga perlu diberi perhatian, seperti bantuan dan tunjuk ajar dalam bidang perniagaan khususnya kepada anak muda untuk menggalakkan mereka menceburi bidang itu yang seterusnya membantu keluarga lain di sini.

"Paling penting, kita mahu wakil rakyat yang mendengar suara hati kita komited dengan tanggungjawab dan bukan sekadar turun padang meraih undi dan hilang selepas tamat pilihan raya. Beliau mesti sentiasa bersedia untuk menyelesaikan isu yang dihadapi komuniti India," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pengundi India di DUN Mahkota yang terletak di dalam daerah Kluang adalah sebanyak lapan peratus daripada keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar.  

Senada ialah Shanta Sabrimuthu, 61, yang turut berharap tumpuan diberikan kepada usaha bagi meningkatkan lagi peluang pendidikan untuk golongan muda komuniti India di situ.

"Saya harap wakil rakyat yang akan diberikan mandat nanti boleh sediakan lebih banyak peluang untuk melanjutkan pelajaran dan bantuan pendidikan anak-anak India terutamanya kepada yang kurang berkemampuan supaya mereka boleh belajar dengan tenang," katanya.

Penduduk Taman Makmur Rajan Naidu, 50, pula mengharapkan wakil yang akan dipilih mempunyai semangat jiwa rakyat yang tinggi dan tidak kekok untuk mendekati komuniti India di DUN berkenaan, seperti yang telah ditunjukkan wakil rakyat terdahulu.

Mengambil contoh Ahli DUN (ADUN) sebelum ini, iaitu Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dan Datuk Md Jais Sardy, Rajan berkata mereka mengambil berat kebajikan pelbagai lapisan penduduk setempat sehingga mereka selesa untuk "mengadu permasalahan dihadapi". 

"Jika ada kejadian tidak diingini, kita mahu wakil rakyat yang boleh turun padang sama-sama dengan kita kenal pasti masalah dan seterusnya cari penyelesaian,” katanya. 

Rajan berkata tidak banyak masalah besar berlaku di DUN Mahkota selain kawasan ini juga sudah membangun. 

PRK DUN Mahkota pada 28 Sept ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. 

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah, 63, semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini pada 2 Ogos lepas. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan