AM

Jemaah Menteri Setuju Kekal Dasar Sedia Ada Permohonan Sijil Halal - Ahmad Zahid

18/09/2024 09:43 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk mengekalkan dasar sedia ada berkaitan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal berkata dasar sedia ada yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah bersifat sukarela sejak ia mula dilaksanakan pada 1974 dan diperkukuh dengan Akta Perihal Dagangan 2011.

“Dasar sedia ada ini kekal dan ia terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.

“Melalui SPHM yang diperolehi tersebut, ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang SPHM atas komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata sehubungan itu, JAKIM menggesa pemain industri agar memohon SPHM memandangkan ia boleh memberi jaminan dan menarik pelanggan beragama Islam untuk makan tanpa keraguan di premis mereka.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata bagi menggalakkan pihak industri memohon SPHM khususnya dalam kalangan industri mikro dan kecil, pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi pembimbing usahawan di peringkat Persekutuan, negeri dan swasta menawarkan pelbagai insentif dan inisiatif berbentuk latihan dan bimbingan serta geran kepada pihak industri untuk memastikan produk atau perkhidmatan ditawarkan boleh dipersijilkan halal.

Ahmad Zahid berkata selain itu, JAKIM juga telah memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia untuk mempercepat pengurusan pensijilan halal di negara ini dalam tempoh 30 hari.

Beliau berkata berdasarkan statistik, antara Januari hingga Julai lepas, sebanyak 96 peratus permohonan menerusi inisiatif berkenaan telah berjaya diuruskan dalam tempoh tersebut.

“Usaha proaktif ini berupaya menjadi antara tarikan kepada pihak industri untuk memohon SPHM,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, JAKIM, Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri sentiasa komited memperkemas polisi dan dasar sedia ada demi menambah baik pengurusan serta sistem penyampaian perkhidmatan pensijilan halal dari semasa ke semasa bagi memastikan pensijilan halal di negara ini terus diyakini dan kekal sebagai rujukan dunia.

Katanya JAKIM akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran semua pihak tentang kepentingan serta kebaikan sijil halal Malaysia dalam industri makanan dan perniagaan.

“Pada masa sama, JAKIM dan Majlis Agama Islam atau Jabatan Agama Islam Negeri juga akan bertindak tegas kepada individu atau mana-mana pihak yang cuba memalsukan SPHM demi memastikan kualiti dan standard pensijilan halal Malaysia sentiasa terpelihara.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited untuk terus memperkukuh pengurusan pensijilan halal Malaysia demi kepentingan dan kebaikan untuk negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan