AM

Kerajaan Akan Lihat Usaha Jangka Panjang Kaedah Penjagaan Pokok Tua

19/09/2024 02:41 PM

SHAH ALAM, 19 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan melihat usaha jangka panjang bagi penjagaan pokok khususnya yang telah tua tanpa menggunakan kaedah tebang semata-mata, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata terdapat koordinasi antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meneliti kaedah untuk menjaga dan mempertahankan pokok yang telah tua serta mempunyai nilai tinggi.

“Namun, dari segi praktikalnya, kita harus melihat bagaimana usaha jangka masa panjang dapat dibuat agar (pokok-pokok itu) tidak ditebang. 

“Ia harus menggunakan kaedah tertentu supaya pokok itu terus ada dan tidak mendatangkan mudarat kepada masyarakat sekitar ataupun yang melalui kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 “Menelusuri Sejarah: Membina Perpaduan Negara Bangsa" di sini hari ini.  

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai insiden pokok tumbang bersama bongkah konkrit di George Town, Pulau Pinang semalam yang menghempap kereta dinaiki seorang lelaki dan anak perempuannya sehingga menyebabkan kedua-dua pelancong dari China itu meninggal dunia. 

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 2,575 panggilan kecemasan melibatkan kejadian pokok tumbang diterima bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi.

Menurut kenyataan itu, 441 kes pokok tumbang direkodkan di Selangor, diikuti 321 di Perak dan 264 di Sarawak dengan lapan kematian dicatatkan, 27 mangsa mengalami pelbagai kecederaan manakala 37 lagi selamat. 

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu dipertingkatkan dalam semua aspek penjagaan kanak-kanak termasuk dalam isu yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) agar pembentukan sahsiah dan peribadi tidak diketepikan supaya masa depan mereka dapat dibina semula.

Ditanya sama ada kerajaan akan meneliti garis panduan penubuhan rumah amal, Ahmad Zahid berkata Kabinet telah membincangkan perkara berkenaan dan melihat aspek berbeza dalam pembahagian tugasan mengikut skop agensi dan jabatan.

"Kita serahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk lihat aspek jenayah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta jabatan agama negeri pula dari segi akidah atau pegangan. Kebajikan di bawah JKM dan aspek ini penting untuk memberikan kesinambungan apa yang mereka (kanak-kanak) lalui. 

“Pada pendapat saya, Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pendidikan Tinggi boleh melihat soal pelajaran (kanak-kanak) terutama dalam bidang akademik atau Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) agar mereka mempunyai masa depan sendiri serta tidak terikat dengan kejadian yang dilalui dalam organisasi berkenaan," katanya. 

Pada 11 Julai lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan serta menyelamatkan 402 individu masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur lingkungan setahun hingga 17 tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan