KOTA BHARU, 19 Sept (Bernama) -- Malaysia mengulangi pendirian untuk terus tegas mempertahankan kedaulatan sempadan negara termasuk perairan Laut China Selatan sebagai kawasan yang bebas bagi kegiatan ekonomi dan perdagangan.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata sekiranya ada konflik atau isu berbangkit di kawasan terlibat, Malaysia akan menggunakan kaedah perbincangan, diplomasi dan dialog bagi penyelesaian masalah.
"Baru-baru ini kita sudah sampaikan pandangan kita pada forum yang diadakan di Beijing, China terutamanya berkaitan keselamatan di perairan Laut China Selatan.
"Kita ingin tegaskan, soal kedaulatan negara akan kita pertahankan dan kesemua negara yang terlibat sudah sedia maklum mengenai perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) di sini, hari ini.
Beliau berkata jika dilihat berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, pihaknya akan memastikan perairan Laut China Selatan menepati “Freedomland Of Navigation” yang bermaksud pelayaran dan keperluan maritim harus diberikan keutamaan.
"Bagi pihak Malaysia dan China hubungan kita agak baik dan sudah terjalin sudah lebih 50 tahun..walaupun masing-masing mempunyai dakwaan tersendiri tetapi kita tetap tegas apa sahaja isu akan dibincangkan dan China terbuka mengenainya sebagaimana hasrat yang disampaikan ketika dialog di Beijing sebelum ini," katanya.
Sebelum ini, Bernama melaporkan penganalisis pertahanan daripada Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr Azmi Hassan berkata rakyat Malaysia tidak perlu khuatir dengan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menangani konflik sempadan di perairan Laut China Selatan kerana mereka memiliki pelbagai strategi bagi menggalas tugas itu.
Azmi berkata kerajaan juga memberikan penekanan kepada aspek memperkukuh pertahanan di perairan negara, terutama menerusi keputusan mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) untuk memastikan projek tersebut dapat diselesaikan.
Dalam usaha kerajaan memastikan sempadan perairan negara di Laut China Selatan terus kukuh, Kementerian Pertahanan, pada Jun lepas, turut menyerahkan Surat Setuju Terima pembelian tiga Kapal Misi Pesisir (LMS) kumpulan (batch) kedua kepada syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial