KLUANG, 19 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara ribuan hadirin yang mengimarahkan Program Malam Kluang Berselawat di Masjid Kampung Tengah di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tiba pada 8.45 malam dan majlis turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan serta barisan kepimpinan negeri.
Program yang diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul pada Isnin lepas, dimulakan dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW selain bacaan al-Quran, qasidah dan tazkirah.
Beliau sebelum itu mengadakan lawatan kerja ke Kem Mahkota di sini yang merupakan antara kem tentera terbesar di Johor.
Menerusi perkongsian di Facebook, Ahmad Zahid berkata beliau berazam untuk terus memangkin kelangsungan kehidupan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk dalam aspek pendidikan dan kebajikan.
"Banyak penambahbaikan dan inisiatif baharu yang sedang dan akan dilaksanakan...Insya-Allah, selagi nyawa dikandung badan, selagi hayat diizin Tuhan, selagi kudrat menggenggam tangan, saya akan terus ambil peduli tentang nasib para pejuang yang kekal teguh mempertahankan tanah air yang kita sama-sama cintai," katanya.
Ahmad Zahid berkata kehadirannya ke kem itu mengimbau kenangan semasa beliau bergelar Menteri Pertahanan pada 2009 hingga 2013.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial