FOKUS BERNAMA

Mengharap Bajet 2025 Lebih 'Hijau'

20/09/2024 01:37 PM
Daripada Soon Li Wei

Bajet 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober depan dinanti dengan penuh harapan oleh para pencinta alam sekitar dan biodiversiti agar kerajaan akan meneruskan agenda melindungi persekitaran negara.

Untuk Bajet 2024, yang dibentangkan tahun lalu, sebanyak RM7.1 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), berbanding RM6.5 billon pada tahun 2023.

Salah satu ciri utama Bajet berkenaan ialah pelbagai langkah untuk menyokong matlamat agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), termasuk RM2 bilion untuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta terbitan Sukuk biodiversiti sebanyak RM2 bilion untuk menanam semula hutan yang mengalami degradasi (hutan rosot) dan menjana kredit karbon. 

Selain itu, sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk Pindahan Fiskal Ekologi (EFT) untuk Pemuliharaan Biodiversiti, termasuk RM60 juta bagi menambah dua kali ganda bilangan renjer hutan di samping RM10 juta untuk menyokong individu yang terkesan akibat konflik manusia-hidupan liar.

pic-2

Bagaimanapun, para penganalisis serta pakar memberitahu Bernama, kerajaan juga perlu memperkenalkan langkah yang lebih mantap supaya dapat melaksanakan inisiatif biodiversiti serta mencapai sasaran yang diidamkan. Ianya, terutama, melindungi komuniti Orang Asli dan tempatan, melindungi kawasan hijau serta memulihara hidupan liar, untuk Bajet 2025.

Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sahabat Alam Malaysia, Meenakshi Raman berkata, lebih banyak peruntukan perlu diasingkan untuk EFT bagi Pemuliharaan Biodiversiti.

Menurut beliau, EFT adalah instrumen penting untuk pindahan sumber kewangan dari Putrajaya ke negeri-negeri bagi menggalakkan perlindungan serta pemuliharan hutan dan biodiversiti.

"Ini kerana RM200 juta yang diperuntukkan bagi tahun ini tidak mencukupi untuk memberi perlindungan hutan serta kawasan marin yang lebih baik, terutama memulihara kawasan yang lebih luas.

"Untuk itu, lebih banyak sumber kewangan diperlukan untuk negeri-negeri berbuat demikian, " beliau memberitahu Bernama. 

Meenakshi, yang juga Penasihat Kanan Perundangan dan Penyelaras Third World Network berkata, kerajaan-kerajaan negeri digalakkan memulihara serta menambah keluasan kawasan yang dilindungi dengan peruntukan EFT yang lebih tinggi. 

"Jika tidak, mereka mungkin terdorong untuk menukar hutan bagi kegunaan lain seperti pembalakan atau perladangan untuk meningkatkan hasil pendapatan," katanya.

 

 

KOMUNITI ‘TIDAK BERDAYA’, PEMULIHARAAN HAIWAN LIAR 

Penganalisis dasar kewangan iklim Muhammad Shaqib Shahrilnizam berpandangan, menyelaraskan Bajet 2025 dengan matlamat iklim dan alam sekitar adalah penting bagi menjamin dasar fiskal tidak sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi tetapi juga menyumbang kepada sasaran kemampanan,

"Dengan mengambil kira impak alam sekitar akibat keputusan perbelanjaan, kerajaan boleh memastikan belanjawan mereka secara berkesannya menangani cabaran iklim serta menggalakkan imbangan ekologi jangka panjang," katanya. 

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Program Insentif Kualiti Alam Sekitar (EQIP) yang menyediakan bantuan kewangan serta teknikal kepada para petani dan pemilik tanah bagi melaksanakan amalan pemuliharaan. Langkah berkenaan akan meningkatkan kualiti biodiversiti, tanah, air dan hidupan liar. 

"Kajian ini adalah dari Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), yang bernaung di bawah program pemuliharaan National Resources Conservation Service yang membantu petani, peladang serta pemilik hutan untuk mengintegrasikan pemuliharaan menjadi tanah yang diusahakan," katanya.

 

 

LEBIH BANYAK PROJEK KARBON

Pengerusi Malaysia Forest Fund (MFF) Dr Yasmin Rasyid berkata, Belanjawan 2025 perlu juga memperuntukan kemudahan kewangan yang dapat menyokong usaha merintis lebih banyak projek karbon di seluruh negara. 

"Dalam soal kredit karbon, perkara ini secara relatifnya masih baharu dan industri yang baharu juga di Malaysia. Untuk membolehkan ianya berjalan lancar, kita memerlukan kolaborasi yang kuat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, di samping sektor swasta, masyarakat sivil, komuniti tempatan dan pemegang taruh yang lain. 

"Perjalanan kita masih jauh sebelum kita dapat melihat pasaran karbon yang dibangunkan sepenuhnya di negara ini, namun saya percaya kita menuju arah yang betul dan teruja melihat minat yang semakin meningkat daripada pelbagai sektor," katanya.

pic-3

Beliau menambah, salah satu cabaran utama dalam ruang pasaran karbon ialah keperluan pembiayaan dana yang signifikan untuk projek-projek tersebut, terutama di peringkat awal sehingga kepada pendaftaran projek. 

"Kredit karbon yang dijana daripada projek karbon boleh dibeli dan dijual di pasaran karbn, sama ada secara sukarela atau untuk mematuhi keperluan peraturan. 

"Ini adalah matlamat utama Forest Carbon Offset (FCO), membantu syarikat yang beroperasi secara lebih mampan dan dapat mengimbangkan jejak karbon mereka, di mana yang perlu," katanya.

(FCO adalah instrumen berasaskan pasaran, bertujuan menggalakkan perlindungan serta pemuliharaan kawasan hutan, dengan memberikan nilai kewangan kepada hutan, dalam bentuk kredit karbon. 

(Insentif ini meliputi perlindungan, pemulihan serta pengluasan kawasan hutan yang memberi manfaat alam sekitar serta ekonomi kepada yang terlibat dalam projek karbon.)

pic-4

Yasmin menekankan bahawa perkongsian yang lebih erat dengan sektor swasta bagi menyokong pemuliharaan biodiversiti serta hutan adalah amat penting.

"Ini selari dengan pendekatan seluruh negara yang digambarkan, yang akan membolehkan kerajaan mencapai aspirasi, bergantung banyak kepada perkongsian awam-swasta.

"Gabungan model pembiayaan secara kolaborasi dengan sektor swasta mampu meningkatkan penyertaan tinggi dalam projek karbon dan dengan demikian, menjadi pemangkin kepada pasaran karbon yang lumayan di Malaysia," katanya.

Beliau menambah, Malaysia mempunyai potensi besar untuk mendapatkan pembiayaan iklim bagi menyokong agenda bersih-sifar di samping berusaha secara kolaborasi di rantau ini dan juga di peringkat global.

Langkah itu juga, katanya, dapat meningkatkan keberkesanan tindakan iklim yang kolektif.

 

 

DANA IKLIM HIJAU

Sementara itu, Meenakshi mencadangkan supaya kerajaan Malaysia terus berusaha mendapatkan dana antarabangsa seperti Dana Iklim Hijau (GCF) bagi memperolehi tambahan dana untuk inisiatif perlindungan hutan.

Pada 16 Oktober 2023, Menteri NRES minister Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia menerima sejumlah AS76.95 juta (RM364.8 juta), peruntukan dari Global Environment Facility (GEF), sejak menyertainya pada tahun 1994. Setakat ini, sebanyak 21 projek dijalankan di peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, Malaysia sebagai penandatangan kepada Perjanjian Paris juga layak menerima pembiayaan di bawah GCF, bagi melaksanakan mitigasi perubahan iklim dan tindakan penyesuaian.

 Mengulangi kenyataan tersebut, Yasmin menambah, memandangkan peluang yang banyak, adalah bermanfaat untuk kerajaan secara aktif meninjau pilihan pembiayaan antarabangsa untuk inisiatif perlindungan hutan.

"Perlindungan hutan adalah perkongsian tanggungjawab dan seruan kepada tindakan merentasi sempadan. Usaha ini memerlukan semua sokongan yang boleh diperolehinya, termasuk pemindahan teknologi, bantuan teknikal serta mobilisasi sumber kewangan," katanya.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan