ALOR SETAR, 22 Sept (Bernama) -- Operasi feri di Terminal Penumpang Kuala Kedah yang ditutup sementara bermula Khamis lepas hingga semalam berikutan amaran angin kencang dan laut bergelora telah beroperasi semula hari ini.
Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd Kapten Dr Baharin Baharom berkata ia melibatkan empat perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi dan lima perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah.
“Selepas tiga hari operasi ditutup, perjalanan feri pertama dari Kuala Kedah adalah pada pukul 1.30 tengah hari manakala dari Langkawi ke Kuala Kedah pada pukul 10.30 pagi tadi.
“Keadaan cuaca hari ini baik dan kita akan pantau sama ada terminal boleh terus beroperasi atau tidak kerana dimaklumkan akan berlaku fasa peralihan monsun bermula Selasa ini yang akan menyebabkan berlakunya hujan lebat dan angin kencang,” katanya ketika ditemui di Terminal Penumpang Kuala Kedah di sini hari ini.
Beliau berkata jika berlaku ribut dan angin kencang sehingga menyebabkan perjalanan feri tidak boleh diteruskan, perjalanan bagi perkhidmatan feri dan feri roll-on roll-off (RORO) akan dialihkan ke Terminal Penumpang Kuala Perlis.
“Kita akan tambah bilangan feri semaksimum mungkin di Kuala Perlis. Tetapi jika dilihat, jumlah pelancong masuk ke Langkawi berkurangan mungkin sebab cuti sekolah sudah habis atau mereka panik melihat keadaan laut yang berombak teruk seperti ditularkan di media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Baharin berkata berikutan perjalanan feri yang terpaksa dibatalkan akibat cuaca buruk itu, lebih 6,000 penumpang meminta pulangan wang manakala lebih 5,000 menukar tarikh tiket dan laluan ke Kuala Perlis.
“Buat masa ini, lebih RM130,000 telah dipulangkan kepada penumpang yang terjejas. Kita akui memang pihak konsortium sedikit terkesan kerana ia melibatkan jumlah penumpang yang ramai, dianggarkan lebih 12,000 orang.
“Kita terima permintaan (pulangan) yang banyak, sebab itu kita beroperasi 24 jam kerana mahu pastikan wang-wang penumpang yang terjejas dipulangkan secepat mungkin,” katanya.
Seorang penumpang feri Siti Zaharah Mansor, 55, dari Sik berkata dia bersama 10 ahli keluarga termasuk cucu lelakinya Muhammad Faris Zaquan Makhruzi, 13, yang menghidap kanser tulang ke Langkawi pada Selasa lepas dan sepatutnya pulang ke Kuala Kedah semalam.
"Kami ternampak memo mengenai pembatalan perjalanan feri, jadi mahu atau tidak memang terpaksa tukar tarikh tiket. Bila cek di kaunter, ada feri yang bergerak pagi ini, jadi kami ambil tiket pada pukul 10.30 pagi.
"Perjalanan lancar, ombak pun tenang. Kami selalu ke Langkawi, tetapi ini kali pertama terkandas dan ia sesuatu yang tidak boleh dijangka, jadi perlu sabar," katanya.
Ini juga merupakan perjalanan pertama cucunya ke Langkawi selepas sembuh daripada penyakit yang dihidapinya dan kali terakhir cucunya pergi bercuti di pulau itu adalah ketika berusia tiga tahun, tambah beliau.
Sementara itu, Nurkhairina Arrysya Shaiful Zubaid, 19, dari Sungai Petani berkata dia ke Langkawi Isnin lepas untuk berjumpa ayahnya yang bekerja di sana dan sepatutnya pulang pada Khamis.
"Apabila dimaklumkan bahawa perjalanan feri ditunda akibat cuaca buruk, saya minta bayaran balik dari pihak pengurusan feri dan tukar tarikh perjalanan kepada hari ini. Keadaan cuaca hari ini baik dan ombak tenang sahaja," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial