POLITIK

'Gandingan Sim-Ram' Signal Remajakan DAP Pulau Pinang, Transisi Perpaduan Menuju PRN

24/09/2024 11:11 AM

Oleh R.Ratcharathan

GEORGE TOWN, 24 Sept (Bernama) -- Gandingan Steven Sim Chee Keong dan Ramkarpal Singh dalam menerajui DAP Pulau Pinang merupakan 'signal' untuk meremajakan parti selepas 25 tahun di bawah kepimpinan lama, sekali gus dilihat sebagai transisi ke arah persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Gandingan Menteri Sumber Manusia dan bekas Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) sebagai Pengerusi serta Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu bersama Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying selaku Setiausaha DAP negeri juga dilihat dapat mengukuhkan perpaduan dalam parti.

Penganalisis politik Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata Sim yang menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang bagi penggal 2024/2027 menggantikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang menyandang jawatan itu sejak 1999 dianggap faktor penyatu pelbagai kem dalam DAP dan memudahkan transisi kepimpinan dalam parti serta negeri.

"Kombinasi yang menang datang dari pelbagai kem dan menjadi tanggungjawab Sim untuk menyatukan semua dan memastikan tidak ada keresahan dalaman serta yang penting adalah bagi Sim untuk rapatkan semua saf dalam parti.

"Kemenangan jawatankuasa negeri kali ini adalah cerminan untuk semua pasukan bersama kerana ada exco (kerajaan negeri) yang kalah dan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang digugur (sebagai calon PRN) sebelum ini menang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pensyarah Kanan Sosiologi Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia itu juga menyifatkan kombinasi Jawatankuasa DAP Pulau Pinang 2024/2027 itu menunjukkan bahawa delegasi memilih untuk memastikan kesinambungan dalam perubahan generasi Z.

Turut senada adalah Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Jamaie Hamil yang berkata kepimpinan muda, gandingan 'Sim-Ram' akan memberikan nafas baharu kepada parti supaya lebih dinamik pada masa hadapan untuk terus kekal relevan dalam landskap politik negeri.

Beliau berkata Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal yang meraih undi paling tinggi iaitu 1,247 memberikan kejutan kepada ramai pihak kerana namanya tidak disebut-sebut sebagai pilihan utama parti, namun anak kepada 'Harimau Jelutong' mendiang Tan Sri Karpal Singh bukan orang asing dalam DAP.

"Kemenangan Ramkarpal akan membuka satu era baharu dalam kepimpinan DAP, bukan hanya di peringkat negeri tetapi juga di peringkat pusat kerana legasi Karpal Singh itu bukan boleh dipandang ringan kerana legasinya memberi satu pengaruh yang sangat besar dalam DAP.

"Jadi, ini merupakan satu petanda bahawa demokrasi yang berlaku dalam DAP ini memberi peluang kepada Ramkarpal untuk terus ke depan selain lantikan sebagai Timbalan Pengerusi negeri akan membuat beliau memainkan peranan (sebagai) ahli politik untuk menyumbang kepada kepentingan negeri, rakyat dan parti," katanya.

Penganalisis politik itu juga berpandangan kehadiran Ahli Parlimen Bukit Mertajam selaku Pengerusi DAP negeri baharu tidak akan mengancam kedudukan Chow sebagai Ketua Menteri kerana Sim sudah pun mempunyai jawatan menteri penuh di peringkat pusat ketika ini.

Bagaimanapun, Felo Akademi Sains Malaysia Prof Jayum Anak Jawan mempunyai pandangan berbeza bahawa penyerahan baton oleh Chow kepada Sim setelah berkhidmat selama 25 tahun sebagai pengerusi DAP negeri akan sedikit sebanyak menganggu-gugat kedudukan Chow dalam pentadbiran Pulau Pinang.

Beliau juga menimbulkan persoalan sama ada pemilihan jawatankuasa DAP semalam menunjukkan permulaan akar umbi parti untuk pembaharuan dalam parti atau kekal dengan corak pemerintahan lama di bawah segelintir pemimpin utama parti itu.

Pada Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang pada Ahad, Sim dilantik sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang bagi penggal 2024/2027 selepas meraih jumlah undi kedua tertinggi iaitu 1,237 manakala Ramkarpal yang meraih undi paling tinggi iaitu 1,247, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi DAP negeri selain Lim Hui Ying dikekalkan sebagai Setiausaha DAP negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari yang memperoleh 1,225 undi dan bekas Penolong Setiausaha Organisasi DAP negeri Datuk Yeoh Soon Hin (1,225 undi) masing-masing dilantik sebagai Naib Pengerusi DAP negeri.

Antara figura yang gagal mendapat 15 undi tertinggi ialah Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang merangkap Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo selain empat ADUN yang turut kecundang termasuk Wong Hon Wai (Paya Terubong) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Heng Lee Lee (Berapit), Ong Ah Teong (Batu Lanchang) dan Joseph Ng Soon Siang (Air Itam).

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata Chow akan terus memegang jawatan Ketua Menteri sehingga akhir penggal ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri yang menghadkan jawatan Ketua Menteri selama dua penggal maksimum. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan