BANGI, 26 Sept (Bernama) -- Kerajaan telah bersetuju dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Shamsul Azri berkata pasukan berkenaan antara lain berperanan menganalisis dapatan tinjauan CPI dan mencadangkan syor serta strategi reformasi institusi dan perundangan termasuk pemantapan mekanisme semak dan imbang.
“Menyentuh tentang CPI, kita semua sedia maklum bahawa melalui Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12), kerajaan telah meletakkan sasaran untuk mencapai kedudukan ke-25 teratas dalam CPI pada 2033 seperti terkandung dalam dokumen Ekonomi MADANI.
“Selaras dengan matlamat itu, kerajaan bersetuju dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas CPI yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti Dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-3 Tahun 2024 di sini hari ini.
Sebelum ini dilaporkan pasukan itu akan turut memantau rapat dan membuat tindakan susulan bersesuaian melalui inisiatif di bawah Strategi Pembantu Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
Sementara itu, beliau berkata cara berfikir dan bekerja penjawat awam perlu berubah bagi menyaingi kepantasan perubahan global dan kepesatan kemajuan teknologi maklumat susulan kepesatan era teknologi digital mencipta ruang dan peluang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi kelemahan prosedur kerja dan peraturan.
“Inilah cabaran kita sebagai penjawat awam untuk meneliti sebarang penambahbaikan undang-undang, peraturan dan dasar-dasar sedia agar sistem perkhidmatan awam tidak mampu diganggu dan digugat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Shamsul Azri turut menyentuh krisis kepercayaan dan keyakinan yang masih berlaku dalam perkhidmatan awam, justeru beliau mengajak seluruh warga jentera awam untuk sama-sama berganding bahu memastikan tatakelola baik berteraskan kebertanggungjawaban dan kecekapan dilaksanakan dengan sebaiknya.
Mengenai persidangan itu, beliau berkata tema "Mendepani Ancaman Rasuah: Pembanterasan Secara Kolektif" itu amat relevan dan bertepatan dengan komitmen dan keseriusan kerajaan dalam menangani rasuah serta mendepani pelbagai cabaran sosioekonomi.
“Ia termasuk mengenal pasti kelemahan tatakelola serta risiko rasuah dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar serta inisiatif kerajaan,” katanya.
Beliau dalam pada itu menegaskan usaha berterusan bagi membanteras rasuah perlu terus dilaksanakan baik pada peringkat sekolah melalui pendidikan dan peringkat agensi menerusi pelbagai inisiatif dan program, mahupun peringkat nasional melalui pelbagai dasar dan strategi.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dalam ucapannya berkata persidangan kali ini memberi fokus kepada beberapa sektor antaranya pertanian, pembinaan, pemborongan dan peruncitan serta perbankan dan akan mengupas realiti kelemahan tatakelola dan risiko rasuah yang wujud dalam sektor berkenaan.
“Sebagai contoh, sektor pembinaan amat terdedah kepada rasuah. Sebanyak US$5 trilion setahun nilai ketirisan dijangka disumbangkan oleh sektor ini menjelang 2030 sekiranya tiada langkah berkesan diambil bagi menangani rasuah dalam sektor berkenaan.
“Sekiranya risiko rasuah dalam sektor pembinaan tidak ditangani secara serius, sudah pasti sektor lain yang berkait dengannya seperti alam sekitar dan ekonomi akan menjadi lebih parah,” katanya.
Azam berkata usaha mencegah dan membanteras rasuah memerlukan usaha bersama seperti sebuah pasukan dan peranan SPRM sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mencegah dan menyiasat sebarang bentuk perlakuan rasuah akan menjadi lebih mencabar tanpa kerjasama ramai.
“Jika kita hanya melihat tanpa bertindak, rasuah akan merebak seperti barah, secara senyap dan bahaya, menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan menyebabkan ketidakadilan sosial sehingga menggadai masa depan negara,” kata Azam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial