KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Polis sudah merakamkan keterangan beberapa saksi kejadian seorang lelaki melompat melintasi landasan monorel Bukit Bintang, di sini pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata pihaknya juga sedang menyiasat kemungkinan suspek yang melakukan aksi berbahaya itu adalah warga asing.
"Polis giat mengesan suspek berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran dan Perasmian Papan Iklan Digital WOW Media Sdn Bhd di Balai Polis Sri Hartamas, yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob.
Pada Khamis polis memaklumkan sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan selepas video berdurasi empat saat memaparkan aksi suspek melompat melintasi landasan monorel dikesan dimuat naik di platform media sosial Xiaohongshu pada Selasa lepas.
Terdahulu, Azry Akmar dalam ucapan perasmian berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh komunikasi dan hubungan dengan masyarakat melalui kerjasama strategik bersama syarikat pengiklanan WOW Media Sdn. Bhd.
Katanya ketika ini tiga papan iklan digital membabitkan sewaan tapak premis PDRM telah beroperasi iaitu dua di Balai Polis Sri Hartamas dan satu di Balai Polis Kepong manakala satu lagi dijaduak didirikan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
"Pelbagai kempen pencegahan jenayah seperti anti scam, aktiviti polis dan mesej kesedaran jenayah dapat disalurkan dengan lebih berkesan melalui platform pengiklanan digital WOW Media di lokasi-lokasi strategik di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor," katanya.
Azry Akmar berkata kerjasama itu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu syarikat pengiklanan dapat memperluaskan lagi perkhidmatan pengiklanan manakala polis mendapat slot-slot paparan percuma untuk memaparkan hebahan umum.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial