EKONOMI

Loji Janakuasa Prai: Lambang Kecemerlangan Dan Inovasi

01/10/2024 10:16 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Loji Janakuasa Prai milik Malakoff Corporation Bhd menjadi lambang kepada kecemerlangan dan inovasi dalam sektor tenaga Malaysia.

Loji janakuasa gabungan kitaran turbin gas (CCGT) dengan kapasiti 350 megawatt dan fleksibiliti dwibahan api—gas asli menjadi bahan api utama dan minyak sulingan sebagai bahan api sandaran—mencatatkan pencapaian penting dan menggariskan peranan utamanya dalam landskap penjanaan tenaga negara.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff Anwar Syahrin Abdul Ajib menekankan bahawa sebagai loji janakuasa CCGT, Loji Janakuasa Prai menyumbang kepada aspirasi negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dalam pelbagai cara.

Antara lain, ia menawarkan peningkatan kecekapan berikutan loji janakuasa gabungan kitaran aci tunggal terkenal dengan kecekapan yang tinggi berbanding loji tradisional, menghasilkan kurang karbon dioksida bagi setiap unit elektrik.

Selain itu, turbin gas dapat meningkatkan tenaga dengan cepat, menjadikannya sesuai untuk mengimbangi sumber tenaga boleh baharu yang bersifat berubah-ubah seperti solar dan angin.

“Fleksibiliti ini dapat membantu mengintegrasikan lebih banyak tenaga boleh baharu ke dalam grid,” katanya.

Selain itu, campuran hidrogen merupakan pilihan yang berpotensi. Malakoff berkata turbin gas berpotensi membakar campuran hidrogen, mengurangkan pelepasan karbon.

“Ini boleh menjadi langkah pada masa depan untuk Loji Janakuasa Prai menyumbang kepada penyahkarbonan sehingga ia mencapai had kitaran hayatnya,” katanya.

Loji tersebut telah melaksanakan enam henti tugas berjadual utama pada 2006, 2009/2010, 2013, 2015, 2017 dan 2020 untuk memastikan operasi yang berterusan dan boleh dipercayai.

Henti tugas berjadual ini penting untuk memastikan peralatan kekal dalam keadaan optimum, sekali gus mengelak henti tugas tidak berjadual, meningkatkan prestasi loji untuk hasil yang lebih baik dan memastikan pematuhan terhadap pelbagai keperluan peraturan selain mengurangkan risiko keselamatan kepada pekerja.

Walaupun Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 21 tahun untuk Loji Janakuasa Prai tamat pada 19 Jun 2024, tidak lama lagi ia memulakan perjalanan baharu dalam menjana tenaga untuk negara apabila ia menerima surat lantikan daripada Suruhanjaya Tenaga pada 23 Julai untuk memulakan PPA baharu.

Ini penting kerana Loji Janakuasa Prai memainkan peranan yang signifikan dalam menyokong sasaran sifar bersih negara menjelang 2050 dan menyokong jaminan tenaga Malaysia dengan memastikan bekalan tenaga yang stabil dan mampu milik.

 

Pematuhan terhadap Peraturan Alam Sekitar

 

Dari segi mengurangkan jejak karbonnya, Loji Janakuasa Prai telah melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan yang berterusan untuk kecekapan terma loji.

“Kami memastikan aktiviti operasi sentiasa mematuhi keperluan alam sekitar.

“Bagi mengurangkan pencemaran, Loji Janakuasa Prai mempunyai pelbagai sistem kawalan pencemaran untuk merawat sisa gas, cecair dan sisa berjadual yang dihasilkan daripada aktiviti loji,” kata Anwar Syahrin.

Kemudahan alam sekitar Loji Janakuasa Prai termasuklah sistem pemantauan pelepasan yang berterusan, sistem rawatan efluen industri dan penyimpanan sisa berjadual.

Loji itu turut melaksanakan program pemantauan alam sekitar untuk menyemak pematuhan terhadap keperluan undang-undang dan peraturan di peringkat tempatan yang ditetapkan dalam Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS) ISO 14001.

Bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat dan mesra alam kepada pekerja, Loji Janakuasa Prai bergiat aktif menyokong program 3R (kurangkan, guna semula, kitar semula) dengan menawarkan latihan kesedaran yang komprehensif kepada semua kakitangan dan kontraktor, memastikan amalan pengurusan sisa yang berkesan.

Menerusi kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (DoE), Loji Janakuasa Prai menganjurkan ceramah alam sekitar semasa Minggu Keselamatan.

Setiap tahun, Loji Janakuasa Prai memperuntukkan perbelanjaan khas untuk inisiatif alam sekitar, termasuk program penanaman pokok di Seberang Prai.

“Program ini membantu penyerapan karbon, mengimbangi pelepasan karbon dioksida daripada loji janakuasa dan meningkatkan kualiti udara, sekali gus mengurangkan impak alam sekitar daripada operasi kami.

“Ia juga menyumbang kepada usaha penghutanan semula global, membantu memulihkan kepupusan hutan, memulihkan kemusnahan ekosistem dan mengurangkan perubahan iklim,” katanya.

 

Menyumbang kepada masyarakat 

 

Loji ini bukan sahaja menyokong matlamat sifar bersih Malaysia, malah turut memberi sumbangan penting kepada masyarakat, menawarkan peluang pekerjaan melibatkan pelbagai tahap kemahiran daripada pekerja mahir dan separuh mahir kepada pekerja tidak mahir.

Selain itu, ia mewujudkan peluang perniagaan melalui kerja kontrak harian dan gangguan loji utama.

“Komitmen ini digambarkan menerusi slogan korporatnya ‘Enhancing Life, Enriching Communities,’ menggariskan dedikasi Malakoff untuk meningkatkan kualiti hidup dan memberi impak positif kepada komuniti yang lebih luas,” katanya.

Loji berkenaan turut menghulurkan zakat dan sumbangan korporat kepada masjid berhampiran, sekolah angkat, rumah anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.

Loji Janakuasa Prai menjadikan tiga sekolah tempatan: SJKC Chung Hwa 3, SJK Tamil Perai dan SK Khir Johari sebagai sekolah angkat.

Ia turut menyediakan khidmat masyarakat dan sumbangan kepada institusi dan masjid tempatan termasuk Pusat Dalam Komuniti di Juru, Perai dan Seberang Jaya; Masjid Jamek Perai dan Masjid Padang Lalang, Bukit Mertajam.

Menerusi kerjasama dengan Masjid Jamek Perai, zakat telah diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan di kawasan itu.

Selain itu, profesional di loji tersebut menawarkan kepakaran mereka kepada institusi pengajian tinggi tempatan seperti Politeknik Seberang Perai dan UiTM Permatang Pauh melalui kuliah yang diadakan untuk menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada pelajar.

Malakoff menekankan bahawa Loji Janakuasa Prai telah memberi impak positif kepada kedua-dua pihak serta negara sepanjang 21 tahun beroperasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan