JOHOR BAHRU, 2 Okt (Bernama) -- Program inovasi global terkemuka Global Connect 2024 anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini berdedikasi untuk memacu inovasi dan memperkukuh kolaborasi global selain berperanan sebagai platform pertukaran idea serta menggalakkan kerjasama antara UTM dan rakan antarabangsa.
Acara julung kali itu menandakan satu pencapaian signifikan dalam memajukan penyelidikan terkini, transformasi pendidikan dan merintis penyelesaian teknologi sambil menangani cabaran global serta menggalakkan pembangunan mampan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata lima program utama – Kongres Universiti-Universiti Teknologi Dunia (WTUC), Akademia Baharu Inovasi Pembelajaran (NALI), Pameran Seni Industri dan Teknologi (INATEX) 2024, Festival Inovasi 2024 dan Leaders Go Global – dirancang untuk mencetuskan perspektif dan menggalakkan kolaborasi baharu serta mencipta suasana kepada para peserta melalui pelbagai idea dan jaringan perkongsian.
“WTUC muncul sebagai acara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, menghimpunkan wakil dari 40 universiti merentasi 20 negara. Acara ini menumpukan kepada pembinaan perkongsian global dalam usaha menangani cabaran alam sekitar dan kemasyarakatan yang kian mendesak,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata kongres ini menawarkan platform unik untuk pakar global bertukar pengetahuan dan mengetengahkan penyelesaian inovatif dan penglibatan peserta secara langsung menyumbang kepada menggalakkan pembangunan mampan dan meningkatkan kesejahteraan planet.
“Kongres Teknologi Dunia telah dianjurkan beberapa kali namun ini kali pertama diadakan di Malaysia untuk membincangkan isu kesihatan planet dan isu-isu penting yang lain. Tahun depan, apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN program ini mempunyai peranan mustahak dalam usaha kita untuk memimpin ASEAN mencari penyelesaian berkaitan kesihatan planet.
“… kemajuan dalam teknologi menghendaki kita untuk menerima tenaga hijau. Kita memerlukan lebih banyak sumber tenaga memandangkan sumber petroleum kita yang semakin terhad,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Bradford dan Pengerusi Rangkaian Universiti Teknologi Dunia Shirley Congdon berkata UTM memainkan peranan penting sebagai pemimpin global dalam rangkaian kelestarian.
"UTM satu daripada pengasas Kongres Teknologi Dunia, berperanan sebagai pemangkin utama dalam memastikan penumpuan yang berterusan terhadap kelestarian global. Mereka ingin memanfaatkan peluang ini untuk menghimpunkan para pemimpin dari seluruh dunia bagi berkongsi pandangan serta memacu lagi tahap kemajuan teknologi dunia.
"Mustahak untuk UTM membuat penetapan dengan lebih jelas mengenai hala tuju mereka. UTM berupaya menjadi peneraju di peringkat global dan berhasrat menangani isu teras yang melanda planet kita," katanya.
Congdon berkata kongres ini diadakan setiap tahun sebagai platform untuk menilai cabaran dihadapi serta berkongsi amalan terbaik dalam usaha mengatasi isu-isu berkenaan.
Sementara itu, Pengarah UTM International Prof Madya Dr Mohd Ariffin Abu Hassan berkata program ini secara signifikan meningkatkan kedudukan universiti di peringkat global selain mengukuhkan perkongsian dengan institusi antarabangsa terkemuka.
Beliau berkata dengan menghimpunkan pemikir terkemuka dari arena akademik dan industri, acara ini mencetuskan penyelidikan berimpak tinggi serta memupuk budaya inovasi merentasi pelbagai bidang sekali gus memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan penyelidikan, pendidikan dan kemajuan teknologi."
"Inisiatif ini beri tumpuan kepada elemen kesihatan planet yang telah dikenal pasti sebagai bidang kritikal yang memerlukan perhatian serius. Dengan menangani isu ini, kita dapat menghasilkan rangka tindakan khusus untuk Malaysia terutamanya bagi institusi pengajian tinggi dalam menghadapi cabaran berkaitan kesihatan planet.
Bertemakan “Alliances for Diplomacy: Harnessing University Collaborations for Planetary Health” WTUC menghimpunkan lebih 1,000 wakil dari 40 universiti merentasi 20 negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial