TAPAH, 2 Okt (Bernama) -- Kesemua keluhan dan cadangan 18 penjaja di pekan Tapah yang mendakwa mereka kerugian akibat kekurangan pembeli sejak pelaksanaan sistem jalan sehala di pekan ini akan dipanjangkan kepada pihak berwajib, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin.
Ishsam berkata sesi libat urus antara penjaja dengan pihak berkepentingan dalam pelaksanaan sistem berkenan penting bagi membolehkan pihaknya mendapatkan maklumat berhubung perkara dibangkitkan.
"Peringkat pemimpin dan wakil rakyat di kawasan ini sentiasa mendengar dan menyelami keluhan yang dibangkitkan oleh penjaja kerana mereka sebahagian dalam komuniti di sini.
"Buat jangka masa pendek bagi permasalahan penjaja, Majlis Daerah Tapah (MDT) tempatkan semua penjaja di Tapak Expo Jalan Baldwin 1, malah MDT telah mengadakan mesyuarat dua kali iaitu bulan Jun dan Julai lalu malah kesemuanya bersetuju," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas sesi dialog antara penjaja dengan agensi terlibat anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Daerah Batang Padang yang turut dihadiri ADUN Chenderiang, Choong Shin Heng.
Bermula 23 Ogos lepas, Jabatan Kerja Raya (JKR) Batang Padang melancarkan sistem laluan sehala di pekan Tapah dengan memansuhkan lampu isyarat di simpang tiga di hadapan Hospital Tapah.
Terdahulu media melaporkan peniaga mendakwa perubahan itu menimbulkan masalah antaranya kekurangan ruang parkir menyebabkan mereka kehilangan pelanggan selain isu keselamatan ekoran kenderaan dipandu laju.
Sementara itu, Ishsam berkata tujuan sistem jalan sehala dilaksanakan adalah bagi mengurangkan kesesakan dan melicinkan lalu lintas di kawasan berkenaan.
"Isu yang utama kita nak selesaikan ialah kesesakan yang berlaku di sini setiap hujung minggu, cuti sekolah termasuk waktu perayaan malah sudah berlarutan sejak sekian lama.
"Setiap keputusan dan langkah yang kita ambil tidak semuanya disukai dan mendapat tentangan namun kita akan cuba cari titik penyelesaian agar semua pihak tidak tertinggal," katanya.
Menurut Ishsam pihaknya turut mendapat maklum balas yang baik daripada pengguna yang menyatakan perjalanan pergi dan balik melalui pekan Tapah sangat lancar berbanding dahulu dengan adanya lampu isyarat.
"Macam saya cakap tadi walaupun terdapat isu yang dibangkitkan penjaja tepi jalan ini, kita tidak meminggirkan mereka dan kita akan bawa suara mereka untuk kita cari solusi terbaik," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial