PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan solat hajat dan doa selamat khusus bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mangsa tragedi di Gaza, Lubnan, Syria dan Yaman.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata ia akan diadakan di tiga masjid utama di bawah seliaan jabatan itu iaitu Masjid Negara di ibu negara serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.
Beliau berkata solat hajat dan doa selamat akan diadakan selepas solat Maghrib esok (Khamis) dan selepas solat Jumaat di tiga masjid berkenaan.
"Jakim turut berbesar hati dan mengajak seluruh masjid-masjid, surau-surau dapat mengadakan solat hajat bagi memohon kepada Allah atas ujian yang menimpa ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jakim dalam pada itu turut menzahirkan rasa kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Israel ke atas Gaza, Lubnan, Syria dan Yaman.
Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt tahun lepas mengakibatkan lebih 41,600 orang terbunuh kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala lebih 96,400 cedera.
Pada Selasa, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres mengecam peluasan konflik di Timur Tengah dan berkata gencatan senjata amat diperlukan.
Tentera Israel mengumumkan pada lewat Isnin bahawa mereka telah melancarkan "kempen darat yang terfokus dan terhad" terhadap Hezbollah di selatan Lubnan dan media melaporkan 95 orang terbunuh dan 172 yang lain cedera akibat serangan udara dalam tempoh 24 jam lepas.
Di ibu kota Syria, Damsyik, letupan kedengaran di seluruh bandar apabila berita mengenai tentera Israel yang memulakan pencerobohan darat ke selatan Lubnan mula tersebar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial