KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi rantau Asia Tenggara bagi 2024 kepada 4.2 peratus, susut daripada 4.4 peratus pada Julai, berikutan semakan semula unjuran pertumbuhan China dan Vietnam.
Ketua ekonominya Hoe Ee Khor berkata perkembangan terkini telah mengubah landskap risiko bagi rantau ASEAN+3.
“Pelarasan pasaran yang mendadak tetapi dalam waktu singkat yang kita saksikan pada awal Ogos merupakan peringatan tentang risiko turun naik pasaran kewangan yang terus meningkat.
“Potensi peningkatan dasar perlindungan susulan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) merupakan satu lagi risiko utama bagi rantau ini,” katanya semasa taklimat perkembangan terkini suku tahunan AMRO mengenai Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 (AREO), yang diadakan secara maya, hari ini.
Beliau juga berkata pertumbuhan ekonomi Vietnam yang lebih perlahan daripada jangkaan mendorong firma penyelidikan itu menurunkan unjuran pertumbuhan 2024 bagi negara tersebut daripada 6.3 peratus kepada 6.2 peratus.
Ekonomi Plus-3 (China, Jepun dan Korea Selatan) diunjurkan berkembang pada 4.1 peratus, manakala ASEAN dijangka berkembang sebanyak 4.7 peratus pada 2024.
“Pertumbuhan bagi rantau ini akan didorong oleh pemulihan berterusan perdagangan luar, permintaan domestik yang berdaya tahan dan peningkatan pelancongan susulan kelonggaran dasar visa di sesetengah ekonomi,” katanya, sambil menambah AMRO juga menjangkakan pertumbuhan rantau ASEAN+3 mengukuh kepada 4.4 peratus pada 2025.
Hoe berkata pertumbuhan lebih tinggi diunjurkan bagi 10 daripada 14 ekonomi pada 2025 berbanding 2024, sejajar dengan jangkaan momentum pertumbuhan global yang stabil dalam keadaan kewangan yang lebih longgar dan permintaan domestik yang berdaya tahan.
Oleh itu, ekonomi Plus-3 dan ASEAN diunjurkan berkembang masing-masing sebanyak 4.3 dan 4.9 peratus pada 2025.
Bagi Malaysia, beliau berkata AMRO mengekalkan unjuran pertumbuhannya tidak berubah pada 4.7 peratus untuk 2024 dan 4.9 peratus bagi 2025.
Sementara itu, katanya, inflasi bagi rantau ini (tidak termasuk Laos dan Myanmar) diunjur terus menurun kepada 1.9 peratus tahun ini sebelum meningkat sedikit kepada 2.3 peratus pada 2025.
Inflasi yang menyederhana ini mencerminkan impak berterusan dasar monetari yang berhemat, harga makanan dan inflasi import yang lebih rendah.
Bagaimanapun, Hoe berkata inflasi dijangka meningkat sedikit kepada 2.3 peratus pada 2025, terutamanya didorong oleh inflasi yang lebih tinggi di China, Hong Kong, Brunei, Kemboja, Malaysia dan Thailand.
“Peningkatan ini berpunca daripada prospek pertumbuhan yang lebih kukuh di samping pelbagai faktor dari segi bekalan seperti pengurangan subsidi tenaga di ekonomi-ekonomi ini.
“Keseluruhannya, tekanan inflasi kekal terkawal di rantau ini, sejajar dengan jangkaan normalisasi arah aliran inflasi global,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial