AM

Malaysia, Pakistan Ulangi Komitmen Perkukuh Hubungan Dua Hala

03/10/2024 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Pakistan mengulangi komitmen mereka untuk memperkukuh kerjasama saling menguntungkan sejak hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terjalin apabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Menerusi kenyataan Jabatan Penerangan Akhbar (PID), yang disiarkan di laman sesawang Kementerian Penerangan dan Penyiaran Kerajaan Pakistan, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya Shehbaz Sharif mencapai kata sepakat mengenai perkara ini pada pertemuan empat mata yang berlangsung di kediaman rasmi Shehbaz Sharif hari ini. 

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama termasuk masalah yang didepani oleh umat Islam dalam suasana mesra. 

 "Mereka juga membincangkan mekanisme untuk meningkatkan kerjasama dua hala bagi mencapai keputusan konkrit dalam kesemua bidang ini," menurut kenyataan itu. 

Selain itu, Anwar dan Shehbaz Sharif menekankan kepentingan dialog serta pertukaran lawatan di semua peringkat selain menggariskan kepentingan Suruhanjaya Bersama Menteri (JMC), Konsultasi Dua Hala dan mekanisme lain bagi meningkatkan libat urus di semua peringkat.

Shehbaz Sharif turut mengucapkan tahniah kepada Anwar kerana Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.

Anwar kemudian mengalu-alukan penglibatan berterusan Pakistan dengan ASEAN sebagai Rakan Dailog Sektoral dan menzahirkan sokongan bagi penglibatan berterusan antara Pakistan dan ASEAN serta peranan lebih besar yang dimainkan oleh negara itu dlaam ASEAN.

Perdana Menteri dalam rangka lawatan negara tiga hari ke Pakistan sejak semalam bagi meningkatkan kerjasama dua hala dan mengeratkan hubungan persahabatan yang terjalin selama 67 tahun antara kedua-dua negara. 

Ia adalah kunjungan pertama Anwar ke negara kuasa nuklear itu sejak beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada November 2022.

Turut serta dalam lawatan itu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datuk Mohammad Azhar Mazlan dan para pegawai kanan kerajaan yang lain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan