EKONOMI

Pulau Pinang Harap Dua Projek Diluluskan Dalam Belanjawan 2025

03/10/2024 10:04 PM

GEORGE TOWN, 3 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri Pulau Pinang berharap dua projek penting di negeri itu dapat diluluskan dalam Belanjawan 2025 iaitu pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua dan geran padanan bagi Penang Silicon Design @5km,+ kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata pembinaan lebuh raya bertingkat yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion itu bertujuan mengatasi masalah kesesakan manakala geran padanan sebanyak RM60 juta adalah untuk mewujudkan ekosistem unik dan saling berkaitan bagi perusahaan reka bentuk dan teknologi litar bersepadu dalam radius lebih 5 kilometer dari Taman Perindustrian Bayan Lepas.

"Kita ada banyak senarai projek, tetapi ada dua yang paling saya harap dimasukkan dalam Belanjawan 2025 yang dijadual dibentangkan pada 18 Oktober ini. 

“Kita berharap, apa yang kita sampaikan dalam banyak siri perbincangan dapat dipertimbangkan. Terkini kita menerima maklum balas, mereka sedang melihat beberapa opsyen memandangkan opsyen itu mempunyai implikasi kos.

"Sejauh mana pilihan itu dan yang mana akan dipilih mungkin peruntukan yang akan menentukan. Tetapi kerajaan negeri berharap opsyen yang dipilih perlu berkesan untuk menyuraikan trafik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Daerah Timur Laut dan Barat Daya Penggal 2024-2028 di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu telah disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Chow berkata jumlah pelaburan untuk inisiatif Penang Silicon Design @5km+ diunjurkan sebanyak RM120 juta dalam tempoh lima tahun akan datang dan kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM60 juta bagi memacu inisiatif tersebut.

"Kerajaan negeri memohon RM60 juta untuk geran padanan daripada kerajaan Persekutuan bagi projek tersebut. Sebenarnya tidak perlu geran padanan kerana ia berjumlah RM120 juta sahaja. Bukan satu angka yang besar bagi kerajaan Persekutuan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan