KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus komited dalam mewujudkan dasar untuk mengukuhkan profesion kejuruteraan selaras dengan keperluan dan peranan bidang berkenaan yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam pembangunan negara.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bagi tujuan itu kementeriannya akan terus bekerjasama dengan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) bagi memastikan Malaysia kekal berada di hadapan dalam inovasi kejuruteraan di rantau ini.
“Sebagai Menteri Kerja Raya, saya memberi jaminan bahawa kerajaan mengiktiraf peranan penting dan sumbangan sektor kejuruteraan.
“Sama ada melalui penambahbaikan projek infrastruktur, mempertingkatkan perancangan bandar atau mempromosikan teknologi hijau, jurutera memainkan peranan penting dalam melaksanakan semua dasar itu,” katanya pada Majlis Makan Malam Penganugerahan dan Penghargaan LJM di sini malam ini.
Mengenai penganjuran majlis tersebut, Nanta berkata program itu bagi menghargai sumbangan besar yang luar biasa serta bakat, dedikasi, inovasi dan kerja keras para jurutera terhadap pertumbuhan serta pembangunan Malaysia.
“Ini tentunya dapat memberi inspirasi kepada generasi jurutera akan datang untuk meneruskan kecemerlangan dan menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara.
“Malam ini, kita bukan sahaja meraikan pencapaian mereka tetapi juga sinergi antara jurutera dan profesional media, dua tonggak penting yang membantu dalam memacu kemajuan masyarakat serta negara,” katanya.
Nanta berkata penerima anugerah pada malam ini masing-masing telah menunjukkan semangat gigih untuk mencapai kejayaan serta komitmen tidak berbelah bahagi dalam memajukan bidang kejuruteraan.
Pada majlis itu, Pengerusi Wetlands International Malaysia Datuk Keizrul Abdullah menerima Anugerah Tokoh Kejuruteraan Negara 2024 manakala syarikat Opus Consultants (M) Sdn Bhd meraih Anugerah Kecemerlangan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar BEM-ECP 2024 (BESHEXA).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial