GUA MUSANG, 3 Okt (Bernama) -- Pengerusi Biro Antarabangsa PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin mendakwa kesepakatan dalam kalangan parti yang menganggotai Perikatan Nasional (PN) kini semakin longgar.
Shamsul Iskandar yang juga Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perpecahan dalaman PN itu dapat diukur melalui prestasi gabungan parti pembangkang itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan DUN Mahkota.
Beliau berkata pada masa sama, parti komponen di bawah Pakatan Harapan (PH) pula dilihat semakin serasi dengan parti-parti politik yang bersama-sama PH membentuk Kerajaan Perpaduan termasuk UMNO.
“Saya fikir rakyat boleh menilai hasil kerjasama (PH-Barisan Nasional) yang mantap di peringkat akar umbi ini walaupun terdapat beberapa pihak yang mempertikaikan keberadaan PKR dalam PH-BN.
“Kesepakatan ini dapat diterjemahkan dengan kemenangan besar di PRK DUN Nenggiri serta majoriti yang melebihi jangkaan disasarkan parti di DUN Mahkota,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Gua Musang di Dewan Kompleks Perdana di sini malam ini.
Beliau berkata kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan merupakan satu agenda politik yang stabil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial