ISLAMABAD, 3 Okt (Bernama) -- Lawatan negara ke Pakistan kali ini membuktikan kesungguhan kepimpinan tertinggi kedua-dua negara untuk meningkatkan hubungan merangkumi pelbagai bidang termasuk ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata terdapat potensi besar dalam hubungan perdagangan yang perlu dipelopori melibatkan beberapa projek yang bakal diusahakan oleh kedua-dua pihak.
“Mesyuarat dua hala di antara Malaysia dan Pakistan telah membuahkan hasil yang amat baik terutamanya dalam rangka untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala, hubungan antara rakyat (people-to- people) yang telah wujud sejak ratusan tahun serta hubungan diplomatik kedua-dua negara yang telah lama wujud,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan tiga hari itu.
Perdana Menteri mengakui bahawa hubungan perdagangan di antara Malaysia dan Pakistan agak ‘malap’ dengan nilai perdagangan hanya mencecah US$1.5 bilion (RM6.33 bilion) tahun lepas walaupun telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1957.
Perdana Menteri berkata kepimpinan kedua-dua negara telah mengadakan perbincangan yang serius untuk meningkatkan kerjasama dalam semua bidang perdagangan dan teknologi pertanian termasuk berkaitan daging, beras dan import minyak kelapa sawit oleh Pakistan.
Kedua-dua negara katanya akan turut memperluas kerjasama dalam sektor pekerja mahir menerusi bidang kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), digital dan semikonduktor.
Selain itu, perbincangan juga menyentuh mengenai zon ekonomi khas dan kerjasama dalam bidang pertahanan.
Pakistan menurut Anwar berpotensi untuk menjadi pintu masuk kepada syarikat Malaysia yang mahu mengembangkan pasaran di Asia Tengah dan Asia Barat.
Beliau berkata dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya Shehbaz Sharif, mereka juga berbincang mengenai keadaan terkini di Afghanistan dan berharap suatu tahap perubahan akan dicapai yang membolehkan negara itu diterima sebagai rakan kerjasama antarabangsa.
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang hadir sama pada sidang media berkata Perdana Menteri telah diberikan penghormatan tinggi oleh kerajaan Pakistan sepanjang lawatan berkenaan.
Menurutnya, bukan sahaja Anwar dikurniakan anugerah awam tertinggi Pakistan, Nishan-e-Pakistan oleh presiden negara itu Asif Ali Zardari dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST), malah lawatan rasmi beliau ke Pakistan juga telah dinaik taraf kepada lawatan negara.
“Jadi ini ialah satu penghormatan yang amat tinggi dan kita di peringkat kepegawaian peringkat kementerian, kita akan menyusun gerak kerja untuk kita pastikan hubungan dua hala ini dipertingkat dan segala perbincangan, persetujuan antara kedua-dua pemimpin akan kita laksanakan, insya-Allah,” katanya sambil menambah tindakan kerajaan Pakistan menaik taraf lawatan sedemikian amat jarang berlaku.
Perdana Menteri tiba di Pakistan pada 2 Okt lepas dan akan bertolak ke Bangladesh pagi ini.
-- BERNAMA
MHI MHI AHS
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial