EKONOMI

India Akan Belanja US$1.2 Bilion Dalam Tujuh Tahun Bagi Kurangkan Import Minyak Makan

04/10/2024 05:10 AM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 4 Okt (Bernama) -- India akan membelanjakan 101 bilion rupee (US$1.2 bilion) dalam tempoh tujuh tahun akan datang untuk mengurangkan pergantungan kepada import minyak makan.

Kerajaan India pada Khamis meluluskan inisiatif yang dipanggil “Misi Kebangsaan bagi Minyak Makan -- Minyak Bijian” untuk meningkatkan minyak bijian domestik kepada 69.7 juta tan menjelang 2030-31 daripada 39 juta tan pada tahun fiskal 2022-23.

India, pengimport terbesar minyak sayuran di dunia, memperoleh minyak sawit kebanyakannya dari Indonesia dan Malaysia, manakala Argentina, Brazil, Rusia dan Ukraine membekalkannya minyak kacang soya dan minyak bunga matahari.

India mengimport 16.5 juta tan minyak makan pada 2022-23, dengan pengeluaran domestik menyediakan kira-kira 40 hingga 45 peratus minyak makan untuk jumlah keperluan negara.

Bahagian minyak sawit membentuk 36 peratus daripada penggunaan India sebanyak 27.2 juta tan minyak dan lelemak pada 2023.

Pada 2021, India melancarkan “ Misi Kebangsaan bagi Minyak Makan -- Kelapa Sawit”, satu skim yang bertujuan memperluas penanaman kelapa sawit tempatan.

Sejajar dengan misi minyak sawit, inisiatif minyak makan baharu itu bertujuan meningkatkan pengeluaran minyak makan domestik kepada 25.45 juta tan menjelang 2030-31, memenuhi kira-kira 72 peratus daripada unjuran keperluan domestik India.

India berusaha untuk meningkatkan penanaman bijian minyak menerusi tambahan empat juta hektar dengan menyasarkan kawasan padi dan kentang terbiar serta menggalakkan penanaman selingan dan kepelbagaian tanaman, menurut kenyataan kerajaan.

Bulan lepas, India menaikkan cukai import ke atas minyak sawit dan minyak makan lain sebanyak 20 peratus, satu langkah yang dilihat sebagai membantu penanam bijian minyak tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan