BERITA TERGEMPAR   PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | 
 AM

Maxis eKelas "HIPMaX Storyfest 2024" Galakan Kemahiran Komunikasi Pelajar

04/10/2024 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Lebih 11,000 pelajar dari seluruh negara menyertai pertandingan “HIPMaX StoryFest 2024”, yang menyaksikan setiap peserta “menghidupkan” cerita rakyat kegemaran mereka melalui persembahan teater dan penceritaan secara kreatif. 

Pertandingan yang memasuki tahun keenam anjuran Maxis eKelas dan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) Kementerian Pendidikan (KPM) itu, menerima penyertaan tertinggi tahun ini sejak ia diperkenalkan.

Maxis dalam kenyataan memaklumkan tema tahun ini ‘Meraikan Cerita Rakyat Malaysia’ berjaya menonjolkan kreativiti pelajar melibatkan tiga kategori iaitu Rendah, Menengah Rendah dan Menengah Atas, dalam mempersembahkan semula cerita rakyat kegemaran mereka.

“Bagi menggalakkan penyertaan, pihak penganjur mengadakan siri jelajah melibatkan lebih 50 sekolah di tujuh negeri, dengan kira-kira 16,000 pelajar berpeluang menghadiri bengkel penceritaan dan teater.

“Pertandingan ini menggalakkan pelajar mempraktikkan kemahiran komunikasi dan menerapkan nilai positif menerusi pendekatan yang menyeronokkan dan kreatif,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu sebanyak 18 finalis daripada kategori penceritaan dan teater dari seluruh negara bersaing pada pertandingan akhir baru-baru ini yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, Lembah Pantai di sini.

Daripada jumlah itu, 15 pemenang dipilih daripada kategori penceritaan manakala 75 pelajar diiktiraf sebagai pemenang daripada pasukan masing-masing dalam kategori teater, dengan pemenang utama bagi setiap kategori menerima hadiah tablet dan naib juara menerima baucar buku bernilai hingga RM100.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hadir menyampaikan hadiah kepada semua pemenang. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng berkata pertandingan itu menjadi platform untuk pelajar mengembangkan kemahiran bahasa Inggeris mereka.

“Sambutan luar biasa yang diterima tahun ini membuktikan komitmen Maxis dalam menyediakan  inisiatif pembelajaran yang memberi impak dan bermanfaat kepada pelajar di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan sama.

Pengarah Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris Farah Mardhy Aman pula berkata pihaknya teruja melihat penyertaan yang begitu menggalakkan dalam pertandingan itu, yang mempromosikan pembelajaran bahasa Inggeris dengan cara yang menarik.

“Bahasa Inggeris merupakan kemahiran penting dalam landskap global hari ini dan inisiatif seperti ini sangat bernilai dalam membantu pelajar memperoleh keyakinan dan penguasaan yang mereka perlukan.

“Kerjasama dengan Maxis sejajar dengan aspirasi kami untuk meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan dan mengalu-alukan lebih banyak program seperti ini pada masa hadapan,” katanya.

Maxis eKelas menjadi rakan strategik KPM sejak 2016 bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dari Tahun 4 hingga Tingkatan 5 melalui program pembelajaran digital selepas sekolah secara tutorial langsung, pertandingan dan pelbagai kandungan digital.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan