KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Hubungan baik yang terjalin antara organisasi media Malaysia dan China akan membantu meningkatkan tahap liputan pelaporan berita kedua-dua negara.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata suasana dan hubungan baik yang terjalin dengan tahap profesionalisme tinggi itu membolehkan pelaporan berita lebih mudah dilakukan, malah berjaya mewujudkan satu persepsi positif dalam kalangan media Malaysia dan China.
Beliau berkata dengan hubungan erat itu juga diharapkan liputan dan capaian berita antara kedua-dua negara dapat disebarluaskan.
"Hubungan baik ini cukup bermakna dan berharga dalam erti hubungan diplomatik, jadi saya harap dengan kerjasama lebih erat ke depan ini, kita bukan hanya mendengar, tonton, baca, terima dan dengar pelaporan dari serata China di Malaysia, tetapi juga pelaporan berita Malaysia sampai ke China," katanya.
Fahmi berkata demikian ketika ditanya mengenai peranan dan hubungan organisasi media dua negara berkenaan dalam satu temu bual bersama wartawan dari China Media Group (CMG) Satria Zhang semasa lawatan kerja beliau ke China baru-baru ini.
Temu bual berkenaan disiarkan dalam program Malaysia Petang Ini (MPI) Edisi Asia terbitan Bernama TV pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata hubungan baik antara pengamal media Malaysia dan China juga boleh dimanfaatkan untuk menimba ilmu berkaitan dunia kewartawanan terutama dalam era digital.
"Ada beberapa perkara kita boleh pelajari, satu daripadanya ialah format (pelaporan berita) bagi sesetengah negara dan audiens mereka, apa yang mereka dambakan, ini penting untuk kita sesuaikan kandungan yang ingin dibuat dengan cita rasa mereka.
"Peluang ini besar, jadi saya lihat kalau kita berjaya faham formatnya, audiensnya faham isu semasa, kita akan boleh sebarkan berita kepada lebih ramai, malah kepada audiens yang kita tidak sangka-sangka," katanya.
Ditanya mengenai cabaran dunia digital dan media sosial dihadapi Malaysia, Fahmi berkata pada hakikatnya banyak negara sedang berhempas pulas untuk menangani isu berkaitan perkara itu.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan isu berkaitan media sosial bukanlah suatu ketegangan yang tidak boleh dileraikan.
"Yang sedikit merisaukan media sosial ini ada algoritma ia sendiri dan hal ini yang menjadi kebimbangan banyak kerajaan, China ada cara sendiri, Malaysia kita juga sedang usahakan … kita mahu pastikan undang-undang negara, adab dan tatasusila dipatuhi serta dihormati.
"Saya berpandangan hal terkait media sosial ini bukan sahaja kerajaan, tetapi juga memerlukan kerjasama media sosial (pengendali), badan bukan kerajaan, ahli akademik dan wartawan sendiri untuk kita fahami perubahan yang sedang berlaku," katanya.
Fahmi berkata dalam konteks berbeza, hubungan baik Malaysia dan China juga membuka ruang untuk kedua-dua negara mengambil pengajaran daripada cara menangani masalah seperti isu kemiskinan, selain memastikan pembangunan negara yang makmur dan mapan.
Pada 26 Sept lepas Fahmi mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Beijing, China yang antara lain bertujuan meningkatkan kerjasama dalam sektor penyiaran, komunikasi digital serta industri perfileman antara Malaysia dan China.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial