AM

Projek Jalan Masuk Utama Ke HUMS Bernilai Lebih RM18 Juta Siap

04/10/2024 06:45 PM

KOTA KINABALU, 4 Okt (Bernama) -- Projek pembinaan jalan masuk utama ke Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (HUMS) sepanjang 1.5 kilometer bernilai RM18.94 juta telah siap sepenuhnya pada 1 Julai lepas, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata projek milik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama JKR Sabah melalui tender secara terbuka dan pembinaan projek telah dimulakan pada 15 Mac 2021.

"Projek ini siap dalam tempoh masa yang ditetapkan dan saya ucapkan tahniah kepada kontraktor serta semua agensi jabatan berkaitan kerana telah menyiapkan projek ini dengan jayanya.

"Projek ini akan memberi manfaat kepada pengguna jalan raya dan HUMS," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek itu kepada KPT yang diwakili Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud yang juga Ahli Parlimen Sepanggar.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya negeri dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Nanta berkata kerja-kerja pemantauan juga akan dibuat di kawasan sekitar pembinaan jalan berkenaan supaya tindakan segera dapat diambil sekiranya mengalami sebarang masalah. 

Terdahulu, Nanta berkata pelbagai cabaran dihadapi dalam proses menyiapkan projek itu, terutama ketika wabak pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang menyekat penggunaan sumber manusia, pergerakan jentera serta bahan binaan.

Selain itu, lokasi tapak projek juga menjadi cabaran kerana terdapat pelbagai utiliti yang melibatkan termasuk Sabah Electricity Sdn Bhd, Telekom Malaysia, Jabatan Air Negeri Sabah dan utiliti dalaman UMS yang secara tidak langsung turut memberi kesan kepada tempoh menyiapkan projek itu.

Bagaimanapun, pasukan projek berjaya mengatasi pelbagai cabaran itu dengan gangguan yang sangat minima walaupun lokasi projek berada dalam kawasan pentadbiran kerajaan negeri, universiti dan mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

"Pembinaan projek ini bertujuan untuk meningkatkan aksesibiliti rakyat kepada kemudahan kesihatan yang disediakan oleh HUMS dan jalan baharu dari UMS ke Jalan Yayasan-Kampung Kibagu pasti akan memudahkan serta mengurangkan kesesakan aliran trafik jalan raya di UMS," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan