EKONOMI

13 Kontraktor Terima SST Untuk Laksana Projek LPB Fasa 1B

05/10/2024 12:05 AM

KOTA KINABALU, 4 Okt (Bernama) -- Sebanyak 13 kontraktor menerima Surat Setuju Terima (SST) bagi melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1B.

Majlis penyerahan SST berkenaan disempurnakan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini malam ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Alexander berkata tempoh pembinaan bagi Pakej Kerja Fasa 1B ini adalah antara 36 hingga 48 bulan dan kos pembangunan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan. 

Beliau berkata Pakej Kerja Fasa 1B yang akan dimulakan pada bila-bila masa melibatkan Jajaran North West: Pakej Kerja 11-14 (Kota Belud ke Kudat), Jajaran South East: Pakej Kerja 16-20 (Tawau ke Lahad Datu), Jajaran North East: Pakej Kerja 22-26 (Lahad Datu ke Sandakan) dan Jajaran Central: Pakej Kerja 31-35 (Telupid ke Ranau).

Nanta berkata Fasa 1B dipecahkan kepada 19 Pakej Kerja daripada keseluruhan 35 Pakej Kerja untuk LPB Sabah Fasa 1, dengan skop projek terlibat ialah pembinaan Jalan Persekutuan baharu dari Kota Belud ke Kudat serta penambahbaikan Jalan Persekutuan dari Ranau ke Lahad Datu sepanjang 370 kilometer (km).

Beliau berkata projek LPB Sabah Fasa 1 sepanjang 706 km dibahagikan kepada dua fasa yang terdiri daripada 35 Pakej Kerja iaitu Fasa 1A melibatkan 16 Pakej Kerja merangkumi 336 km dengan kos pembangunan bernilai RM10.849 bilion.

“Fasa 1B pula mengandungi 19 Pakej Kerja merangkumi sepanjang 370 km dengan kos pembangunan bernilai RM13.989 bilion. Fasa 1A telah dimulakan pada 2016 dan hingga kini telah mencapai 78 peratus siap manakala dijadualkan siap secara keseluruhan menjelang suku kedua 2026,” katanya.

Nanta berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap agar semua kontraktor yang dilantik akan memberikan penekanan kepada aspek mutu kualiti terutamanya dari segi pematuhan spesifikasi piawai, kos dan masa yang ditetapkan serta mengutamakan aspek keselamatan di kawasan tempat kerja.

“Kementerian melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan memantau kualiti kerja serta menilai prestasi setiap kontraktor dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya sentiasa diutamakan selaras dengan hasrat Program MY Jalan KKR,” katanya.

Beliau berkata projek LPB Sabah ialah projek berimpak tinggi yang menjadi keutamaan KKR kerana ia dapat memberikan limpahan manfaat kepada rakyat sepenuhnya, selain mampu mencetuskan revolusi kepada pembangunan kawasan yang berpotensi tinggi di sepanjang jajaran berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan