KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Industri teknologi dan telekomunikasi tempatan menyambut baik pelantikan Anuar Fariz Fadzil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang baharu.
Pengerusi National Tech Association of Malaysia (PIKOM) Ong Chin Seong berkata pengalaman Anuar dalam sektor awam dan swasta amat penting dalam memacu ekonomi digital negara.
“Bagi pihak PIKOM, kami mengucapkan tahniah kepada Anuar Fariz Fadzil atas peranan baharunya sebagai CEO MDEC.
“Kami gembira mengenai masa depan di bawah kepimpinannya dan peluang untuk meningkatkan kerjasama kami dengan MDEC. Kepakaran dan visi beliau akan membantu mempercepat transformasi digital Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ong berkata PIKOM kekal komited sepenuhnya untuk menyokong usaha MDEC dalam memastikan ekonomi digital Malaysia terus berkembang dan memberikan sumbangan yang penting kepada kemakmuran negara.
Pelantikan Anuar bertepatan dengan pelaksanaan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia.
Baru-baru ini, Menteri Digital Gobind Singh Deo menyatakan keyakinan bahawa ekonomi digital Malaysia dijangka melepasi unjuran sumbangan sebanyak 25.5 peratus kepada KDNK negara pada akhir 2025.
Keupayaan Anuar yang terbukti dalam membentuk perkongsian yang kukuh dan menggalakkan kerjasama dijangka terus menyatukan pihak berkepentingan selain menerapkan ekosistem yang dinamik serta menyokong inovasi dan pertumbuhan yang mampan.
Sementara itu, Pengerusi Malaysia Internet Exchange (MyIX) Chiew Kok Hin berkata organisasi mengharapkan hubungan kukuh yang berterusan dengan MDEC untuk membina ekonomi digital yang kukuh berasaskan kesalinghubungan yang baik.
“Kami mahu terus bekerjasama rapat dengan MDEC di bawah kepimpinan Anuar untuk meningkatkan infrastruktur digital Malaysia.
“Kesalinghubungan yang kukuh menjadi tulang belakang kepada ekonomi digital yang berkembang maju dan bersama-sama kita boleh memacu kemajuan yang lebih baik dalam bidang ini,” katanya.
Chiew berkata pelaburan di Malaysia terus meningkat, terutamanya dalam pusat data.
“Minat yang tinggi dalam pelaburan pusat data menggariskan kedudukan strategik Malaysia di rantau ini,” katanya.
Chiew berkata kepentingan mengembalikan semula pengecualian kabotaj, membenarkan kapal asing membaiki kabel dasar laut di perairan Malaysia tanpa lesen domestik, mempercepat proses pembaikan dan memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab digital.
“Dasar ini memastikan Malaysia kekal sebagai hab untuk trafik internet global, mengurangkan potensi masa henti dan memastikan kesalinghubungan lancar, penting untuk perniagaan yang beroperasi dalam ekosistem digital kami.
“Kami berbesar hati kerana MDEC menyokong pendirian pengecualian itu. Perubahan dasar ini telah memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan dan meningkatkan kesalinghubungan global kami,” katanya.
Selain itu, permintaan untuk jalur lebar internet telah mencapai paras tertinggi baharu, dengan MyIX mencatatkan peningkatan 20 peratus tahun ke tahun dari 2022 hingga 2023.
Menurut MyIX, permintaan mencapai tahap tertinggi pada 2.311 Terabit sesaat pada tahun lepas, merupakan paras tertinggi pernah dicatatkan sejak penubuhannya pada 2006.
Veteran industri Datuk Hussian Abdul Rahman berkata pelantikan Anuar menunjukkan tekad kerajaan untuk mengembangkan lagi ekonomi digital.
“Pelantikan Anuar adalah bukti kepada komitmen kerajaan untuk memajukan ekonomi digital kita,” kata Hussian, CEO MobilityOne Ltd, disenaraikan di AIM subpasaran Bursa Saham London dan Pengarah Eksekutif TFP Solutions Bhd.
“Kepimpinan beliau penting dalam memacu inovasi dan kerjasama seterusnya dalam industri,” katanya.
Hussian menegaskan bahawa kepimpinan yang kukuh di MDEC penting untuk Malaysia memanfaatkan peluang digital baharu dan kekal berdaya saing di peringkat global.
Seorang lagi veteran industri, Jason Thoe, CEO Xamble Group Ltd yang berpangkalan di Kuala Lumpur, disenaraikan di Bursa Sekuriti Australia, menyokong Anuar untuk menerajui MDEC ke tahap baharu.
“Teknologi memberi kesan kepada kumpulan umur yang berbeza dalam pelbagai cara dan memahami impak pelbagai generasi ini adalah penting,” katanya.
Beliau berkata Anuar membawa perspektif baharu yang amat diperlukan dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini.
“Sejak penubuhannya pada 1996, MDEC telah berkembang dengan pesat dan kini menjadi enjin pertumbuhan yang strategik untuk Malaysia.
“Saya yakin di bawah kepimpinan Anuar, industri akan mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial