AM

88 Badan Pensijilan Halal Luar Negara Dapat Pengiktirafan Jakim

05/10/2024 07:30 PM

SHAH ALAM, 5 Okt (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memberikan pengiktirafan kepada 88 badan pensijilan halal luar negara setakat Mei tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata jumlah berkenaan membabitkan 49 buah negara antaranya China, Korea Selatan dan Jepun.

Beliau berkata badan berkenaan  bertanggungjawab dalam mengeluarkan sijil halal bagi produk-produk luar negara yang memasuki pasaran di Malaysia.

“Mekanisme untuk pensijilan halal di peringkat antarabangsa adalah melalui pengiktirafan oleh JAKIM selaku pihak berautoriti di negara ini kepada badan-badan pensijilan halal luar negara.

“Berdasarkan perkembangan pesat industri halal global, kita jangka jumlah permohonan dan yang diiktiraf akan terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program 'Makanan Halal: Selera Dunia' di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai isu penggunaan sijil halal palsu, Mohd Na’im berkata situasi masih terkawal dengan penguatkuasaan dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Beliau berkata JAKIM selaku agensi bertanggungjawab berkaitan pensijilan halal sentiasa bekerjasama dengan KPDN dalam melaksanakan penguatkuasaan memerangi sijil halal palsu.

Menurut beliau, kes penggunaan sijil halal palsu kebanyakannya dikesan melibatkan pasar awam, kedai runcit dan pasar raya kecil.

“Sekiranya JAKIM menerima aduan, agensi ini akan selaraskan dengan KPDN untuk jalankan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang, namun setakat ini kita dapati keadaan adalah terkawal,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan