AM

KPKT Laksana Pelbagai Inisiatif Galakkan Perbandaran Mampan - Nga

05/10/2024 10:26 PM

GEORGE TOWN, 5 Okt (Bernama) -- Kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil pendekatan dengan melaksanakan beberapa inisiatif sebagai usaha utama bagi menggalakkan perbandaran mampan.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata ia susulan penduduk bandar kini melebihi 75 peratus dan diunjurkan mencecah 85 peratus menjelang 2050, justeru beberapa usaha perlu dilakukan untuk memastikan kawasan bandar dapat dibangunkan secara mampan.

“Pada satu pihak, perbandaran memudahkan akses kepada perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan berkualiti manakala bagi pihak lain, ia menyatakan isu signifikan seperti kesesakan dan kemampuan memiliki rumah khususnya untuk generasi muda.

“Jadi, bagaimana kita boleh menjamin bahawa kawasan bandar dibangunkan secara mampan? Pertama, kita menjenamakan semula Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Program Residensi Rakyat (PRR) untuk memperkasakan kumpulan berpendapatan rendah dapat memiliki rumah, bukan sebarang rumah, tetapi kediaman yang berkualiti,” katanya ketika berucap pada Forum Bandar Malaysia (MUF) di sini hari ini.

Selain itu, Nga berkata Program Perumahan PR1MA direka khusus untuk rakyat Malaysia berpendapatan sederhana dengan pendapatan isi rumah antara RM2,500 hingga RM15,000 sebulan, yang menyediakan perumahan mampu milik dengan kemudahan bertaraf dunia seperti Ideal Residency di Pulau Pinang.

Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk A. Rajendran, Penasihat Kerajaan Malaysia dalam Perbandaran Mampan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif yang juga Datuk Bandar Kuala Lumpur. 

Nga berkata KPKT juga menyediakan gerai MyKiosk dengan membina ruang perniagaan yang teratur, selamat dan selesa bagi kumpulan B40 yang dilengkapi dengan tenaga solar.

Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif itu membolehkan individu daripada kumpulan B40 memulakan perniagaan dengan sewa dikecualikan bagi enam bulan pertama, diikuti sewa bulanan serendah RM150, membantu mereka meningkatkan taraf hidup dan diharapkan dapat mengurangkan cabaran yang dihadapi golongan miskin bandar.

Dalam pada itu, Nga berkata setiap hari, rakyat Malaysia menjana lebih 39,000 tan sisa pepejal yang bersamaan dengan 1.2 kilogram setiap orang, justeru untuk menangani cabaran ini kementerian melancarkan Blueprint Ekonomi Kitaran bagi Pengurusan Sisa Pepejal yang merangkumi lima tonggak, 20 inisiatif dan 61 pelan tindakan.

“Satu daripada usaha yang sedang dilakukan ialah mengurangkan penggunaan plastik sekali guna di tapak pembuangan sampah. Bulan lepas, kita memulakan kempen Tiada Beg Plastik Sekali Guna dengan kerjasama 17 peruncit dan tiga persatuan runcit.

“Selain itu, kami meneroka penyelesaian inovatif untuk menangani cabaran di tapak pembuangan sampah. Di Bandar Tenggara, Johor, misalnya yang menempatkan tapak pembuangan sampah seluas 18.7 ekar (tujuh hektar) mengumpul lebih 360,000 tan sampah menyebabkan banyak aduan dari kawasan kejiranan di sekitar, namun kini kita menutup kawasan itu dan memperuntukkan RM23 juta untuk mengubah tapak itu menjadi taman rekreasi hijau,” katanya.

Beliau berkata Malaysia perlu terus meneroka konsep bandar pintar, seperti sistem pengurusan trafik pintar yang menggunakan data masa nyata untuk melaraskan isyarat lalu lintas sekali gus mengurangkan kesesakan dan waktu perjalanan, yang pastinya membantu meningkatkan kecekapan pengangkutan dan memendekkan masa perjalanan harian.

Nga berkata kementerian juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan China untuk meneroka potensi kerjasama dalam perumahan pintar dan pembangunan semula bandar, berganding bahu menangani isu kritikal seperti perubahan iklim global.

MUF 2024 yang diadakan bermula hari ini hingga 8 Okt ialah usaha kerjasama antara KPKT melalui agensi Urbanice Malaysia dan MBPP sebagai bandar raya tuan rumah manakala Perbadanan PR1MA Malaysia ialah rakan strategik utama dan berfungsi sebagai platform untuk membincangkan isu tempatan dan menyediakan penyelesaian bagi masalah bandar dan perancangan bandar mampan. Ia bertujuan menggalakkan perbandaran yang berpusatkan masyarakat, mampan, berdaya tahan dan inklusif.

Bertemakan “Bandarku, Rumahku”, sejumlah 8,000 peserta daripada latar belakang tempatan dan antarabangsa menghadiri acara empat hari itu, yang membabitkan pelbagai sesi dialog dan perbincangan.

Sebanyak 100 kertas kerja akan dibentangkan ahli panel daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pakar industri, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan, wakil penduduk, dan kumpulan pihak berkepentingan termasuk wanita, belia dan ahli akademik.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan