AM

Tiada Kaitan Dengan Pelantikan CEO MDEC, Anuar Fariz Bukan Adik Saya - Fahmi

05/10/2024 11:51 PM

GEORGE TOWN, 5 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Anuar Fariz Fadzil merupakan adiknya.

Beliau berkata MDEC yang merupakan agensi peneraju ekonomi digital negara bukan di bawah Kementerian Komunikasi sebaliknya di bawah Kementerian Digital yang diterajui Gobind Singh Deo.

“Anuar Fariz Fadzil tiada apa-apa kaitan dengan saya, nama sahaja sama, sepupu pun bukan, bau-bau bacang pun tiada. Saya tiada kaitan dengan pelantikan itu.

“Semua yang cuba membuat fitnah, saya harap mereka sedarlah, jangan terlalu mudah untuk menabur fitnah dan ini adalah pengajaran untuk kita semua supaya sentiasa berwaspada dengan maklumat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi Sembang Santai bersama Komuniti MADANI Pulau Pinang di Kampung Batu Uban, Gelugor malam ini.

Fahmi juga menegaskan dua adik-beradiknya yang masing-masing bekerja dengan syarikat pembuatan bahan kimia dan pemuzik tidak pernah menerima sebarang bantuan atau peruntukan daripada mana-mana agensi di bawah Kementerian Komunikasi sejak beliau menerajuinya.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Isham Jalil mempersoalkan latar belakang Anuar Fariz yang mengaitkan dengan beliau susulan tular menerusi media sosial kononnya adik beliau dilantik sebagai CEO MDEC.

Khamis lepas, MDEC melantik bekas Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia Anuar Fariz sebagai CEO yang baharu, menggantikan Mahadhir Aziz yang tamat penggal jawatan CEO pada 31 Ogos lepas.

Sementara itu, Fahmi berkata kementeriannya belum memutuskan mengenai pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) baharu dan prosesnya masih berjalan.

Pada 25 Sept lepas, Fahmi mengesahkan Ketua Pengarah JKOM Mohd Khairuddin Othman telah ditamatkan perkhidmatannya pada 24 Sept lepas, namun tidak menjelaskan lebih lanjut berkaitan perkara itu.

Mohd Khairuddin yang juga Setiausaha PKR Selangor dilantik sebagai Ketua Pengarah JKOM sejak 1 Mac, bagi mengisi kekosongan jawatan yang sebelum itu disandang Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Mengenai siasatan dakwaan melakukan gangguan seksual Mohammad Agus, Fahmi berkata pihaknya belum menerima sebarang maklumat daripada pihak yang melakukan siasatan kes berkenaan setakat ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan