JOHOR BAHRU, 6 Okt (Bernama) -- DAP tidak pernah mencadangkan agar Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor, sebaliknya parti itu selesa memainkan peranan sebagai pengimbang di negeri itu.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata tanggungjawab itu dipandang serius sekali gus menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 2023 supaya gelaran pengimbang digunakan kepada wakil rakyat pembangkang.
"Pendirian DAP, kita tidak pernah cadang penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor. Ini kerana kita terima hakikat bahawa kerajaan negeri Johor ditubuhkan sebelum Kerajaan Persekutuan.
"Kita tak nak mengganggu perjalanan kerajaan dan saya tidak mahu sulitkan keadaan. DAP tak pernah minta kerusi atau jawatan dalam kerajaan negeri dan tidak mengemis jawatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen DAP Johor di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi DAP Johor yang juga Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong .
Sehubungan itu, Loke yang juga Menteri Pengangkutan meminta polemik kononnya Pakatan Harapan (PH) Johor mahu Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor dihentikan semua pihak.
"Di Johor, DAP memiliki 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Mereka mainkan peranan sebagai pengimbang yang menyokong kerajaan negeri pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi (Menteri Besar Johor) dengan baik.
"Masing-masing ada peruntukan dan turut dipelawa menyertai Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah. Jadi tiada polemik, sebaliknya kita harus fokus memajukan Johor kerana banyak projek bertumpu di sini. Secara tidak langsung kita akan memajukan negara," katanya.
Kerajaan Johor dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mac 2022, sebelum penubuhan kerajaan Perpaduan ekoran keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun sama.
Sementara itu, Liew ketika berucap pada konvensyen itu, sekali lagi menyatakan hasrat melepaskan jawatan sebagai Pengerusi DAP Johor bagi memberi laluan kepada timbalannya Teo Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata keputusan dibuat setelah mengambil kira tempoh selama 10 tahun memegang jawatan berkenaan.
Liew berkata beliau akan tetap bertanding Jawatankuasa DAP Johor hari ini, namun jika dipilih menyertai Jawatankuasa DAP negeri, beliau akan mencalonkan Teo untuk jawatan pengerusi negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial