ISTANBUL, 6 Okt (Bernama-Anadolu) -- Palestin pada Ahad menyambut baik seruan Presiden Perancis Emmanuel Macron untuk menghentikan eksport senjata ke Israel di tengah-tengah serangan rejim itu ke atas Semenanjung Gaza.
"Seruan Macron selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi antarabangsa yang sahih , menyokong penyelesaian dua negara dan prinsip hak asasi manusia," kata Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan yang dipetik Agensi Anadolu (AA).
Dalam wawancara bersama radio France Inter pada Sabtu, Macron menekankan perlunya memberi keutamaan kepada penyelesaian politik bagi menyelesaikan konflik Gaza.
"Saya percaya keutamaan hari ini adalah kembali kepada penyelesaian politik dan menghentikan penghantaran senjata kepada Israel untuk menyerang Gaza," katanya.
Presiden Perancis itu menjelaskan bahawa Paris tidak membekalkan senjata kepada Israel di tengah-tengah serangan yang sedang berlaku di Wilayah Palestin itu.
Kementerian Palestin turut menyeru semua negara yang "terus membekalkan Israel dalam perangnya" untuk menghormati dan melaksanakan undang-undang antarabangsa, serta mendesak Israel supaya menghentikan serangan genosid terhadap penduduk di Gaza, Tebing Barat dan Lubnan.
Ia juga menggesa penandatangan Perjanjian Perdagangan Senjata supaya "mengambil tindakan tegas untuk menghalang Israel daripada menggunakan senjata dan peralatan ketenteraan terhadap orang awam dan dengan segera mengenakan penyelesaian menyeluruh dan embargo senjata ke atas Israel."
Terdahulu, AA melaporkan bahawa Macron menekankan Israel harus mematuhi undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan dalam mempertahankan dirinya.
Beliau juga membangkitkan mengenai serangan terbaharu Israel ke atas Lubnan, dengan berkata, "Lubnan tidak boleh menjadi sebuah Gaza baharu."
Israel meneruskan serangan kejam ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas, walaupun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengeluarkan resolusi yang menyeru gencatan senjata segera.
Hampir 41,900 orang telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 97,100 orang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial