EKONOMI

Pelabur Asing Jual Ekuiti Bernilai RM1.1 Bilion Minggu Lepas

07/10/2024 11:27 AM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Pelabur asing melepaskan pegangan ekuiti di Bursa Malaysia pada minggu lepas dengan nilai jualan bersih RM1.10 bilion, tertinggi dalam tempoh 18 minggu, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).

Dalam laporan aliran dana bagi minggu yang berakhir pada 4 Okt, 2024, MIDF berkata pelabur asing melakukan aktiviti jualan setiap hari bagi tempoh 10 hari berturut-turut.

Jualan bersih paling ketara dicatatkan pada Jumaat lepas dengan nilai RM321.8 juta.

Sektor yang menyaksikan jualan bersih adalah masing-masing perkhidmatan kewangan (RM553.3 juta), utiliti (RM159.5 juta) dan produk serta perkhidmatan pengguna (RM132.3 juta).

“Sektor yang mencatat aliran masuk bersih pula adalah perladangan (RM27.5 juta) hartanah (RM20.9 juta) dan tenaga (RM10.0 juta),” katanya.

Dalam pada itu, institusi tempatan mencatat belian bersih bagi minggu keempat berturut-turut yang bernilai RM1.02 billion.

“Berbeza dengan pelabur asing, institusi tempatan melakukan belian bersih bagi tempoh 10 hari berturut-turut. Peruncit tempatan juga terus memainkan peranan dalam menyokong pasaran menerusi aktiviti belian bersih untuk minggu kedua yang bernilai RM79.8 juta),” katanya.

Selain itu, purata jumlah dagangan harian (ADTV) susut dan merentasi semua kelas pelabur pada minggu lepas merangkumi pelabur asing yang merosot sebanyak 14.0 peratus manakala pelabur runcit tempatan dan pelabur institusi tempatan mencatat penurunan sebanyak 9.6 peratus dan 6.5 peratus.

Di peringkat serantau, bank pelaburan itu berkata aliran keluar dana asing juga ketara di peringkat Asia minggu lepas apabila pelabur asing melakukan jualan bersih di enam daripada lapan pasaran yang ditinjau oleh MIDF.

“Jumlah aliran keluar dana asing bersih di paras tertinggi dalam tempoh 24 minggu adalah US$7.31 bilion berikutan aliran masuk dana ke China. Hanya Filipina dan Vietnam menyaksikan aliran masuk bersih pada minggu lepas," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan