Oleh Arthur Edward
KOTA KINABALU, 8 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 diharap mengambil kira keperluan pengamal media dan industri persuratkhabaran di Sabah bagi memastikan industri berkenaan terus berupaya memainkan peranannya menyumbang kepada pembangunan negara secara berkesan.
Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Datuk Lichong Angkui berkata pengamal dan industri media di negeri itu perlu diberi galakan berupa insentif dan subsidi memandangkan prasarana telekomunikasinya masih ketinggalan berbanding di Semenanjung disebabkan keadaan geografi dan topografinya.
"Kita berharap menerusi Belanjawan 2025 ini akan ada pakej dan insentif khusus bagi pengamal media, contohnya rebat bil telefon bimbit ditingkatkan kadarnya bagi pengamal media di Sabah berbanding di Semenanjung.
"Mungkin juga diberi pertimbangan diberikan subsidi khas bagi pembelian komputer riba dan gajet lain yang digunakan wartawan," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata dua perkara itu perlu diberi pertimbangan, mengambil kira kos sara hidup di Sabah yang jauh lebih tinggi, sedangkan kadar upah dan penggajian pengamal media tempatan di negeri itu jauh lebih rendah.
Katanya, ketidakseimbangan kadar gaji pengamal media antara Sabah dengan Semenanjung, antaranya disebabkan tiada kesatuan sekerja di negeri itu yang memperjuangkan nasib mereka menerusi Perjanjian Bersama (CA) seperti di Semenanjung.
Pada masa sama, Lichong turut mencadangkan supaya kerajaan berusaha meningkatkan kadar penembusan jalur lebar di Sabah memandangkan ketika ini masih banyak kawasan tidak mempunyai liputan Internet yang baik.
"Ada beberapa lokasi di Sabah yang tidak jauh dari pusat bandar pun, liputan Internet amat sukar diperoleh sedangkan di Semenanjung orang sudah bercakap mengenai 5G. Perluasan penembusan jalur lebar penting kerana ia dapat menyokong industri surat khabar di Sabah yang kebanyakannya sudah mempelbagaikan kegiatan (perniagaan), termasuk secara dalam talian.
Lichong yang juga Ahli Majlis Pentadbir Ikatan Setiakawan Wartawan Indonesia-Malaysia (ISWAMI) berkata operasi media di Sabah masih boleh bertahan di sebalik cabaran dunia digital namun kebanyakannya sudah mengecilkan saiz dan operasi susulan pengiklan semakin berkurangan.
"Dalam hal ini, kerajaan boleh memikirkan kemungkinan menyediakan insentif atau subsidi untuk pembelian kertas yang digunakan akhbar, bukan saja di Sabah tetapi juga di seluruh negara kerana ia akan membantu mengurangkan kos operasi syarikat persuratkhabaran," katanya.
Beliau juga berharap kerajaan memperkenalkan pendekatan proaktif bagi menyelamat dan membangunkan industri media di negara ini keseluruhannya.
"Satu daripada pendekatan yang boleh difikirkan adalah menerusi pengecualian cukai kepada pengamal media dan pemain industri surat khabar, khususnya di Sabah," katanya.
Pemilik portal Sabah News Today (SNT) Zakaria Damit berkata media di Sabah sangat mengharapkan Belanjawan 2025 memberikan subsidi pembelian peralatan serta inisiatif lain kepada pengamal media terutamanya pembelian telefon bimbit, komputer riba serta kemudahan subsidi berterusan Telco.
"Ini kerana kebanyakan pengamal media ketika ini hanya beroperasi di luar pejabat serta sangat memerlukan peralatan seperti ini untuk menyiapkan sebarang tugasan mereka.
“Jika dahulu pengamal media lebih tertumpu kepada camera digital untuk membuat setiap tugas namun kini telah beralih kepada hanya beroperasi dalam apikasi telepon pintar,” katanya.
Sementara itu, Zakaria berkata kerajaan terutama Kementerian Komunikasi harus memberi perhatian serius terhadap media beroperasi secara dalam talian tanpa berdaftar terutama di Sabah yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.
"Mereka beroperasi tanpa kawalan serta melakukan tugas pemberitaan tanpa segan silu terutama dalam membuat liputan berunsur jenayah dan sebagainya. Jadi apa garis panduan serta akta yang perlu diambil kepada media tidak berdaftar ini agar tidak mencemarkan identiti pengamal media berdaftar di Sabah," katanya.
Beliau berkata kerajaan juga wajar menyalurkan sedikit suntikan dana kepada media berdaftar terutama di Sabah bagi membolehkan perkhidmatan mereka sentiasa releven dengan keperluan semasa serta dapat meneruskan operasi mereka pada masa depan.
"Ini kerana kebanyakan pengendali media dalam talian tidak mempunyai kakitangan yang ramai serta beroperasi di rumah. Bagi mengekalkan portal ini terus bersaing, pihak kerajaan perlu menyalurkan dana bersesuaian bagi memastikan operasi media Sabah sentiasa relevan,” katanya.
Bagaimanapun, Zakaria berkata suntikan dana oleh kerajaan itu hanya perlu diberi kepada pengamal media yang berdaftar secara sah di Sabah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial