AM

Sembilan Masjid Di Perak Dipilih Sertai Program Penanaman Betik

08/10/2024 04:43 PM

KUALA KANGSAR, 8 Okt (Bernama) -- Sembilan buah masjid di Perak dipilih melaksanakan Program Sekuriti Makanan (Tanaman Betik) tahun ini dengan peruntukan sejumlah RM86,000.

Pengarah Pertanian Perak Norsiyenti Othman berkata antara daerah yang terlibat ialah Kuala Kangsar, Gerik, Tapah, Kampung Gajah, Gopeng, Bagan Datuk, Taiping serta Kuala Kurau dengan keluasan tanah 1.7 hektar secara keseluruhannnya.

Beliau berkata pihaknya memberikan khidmat bantuan melibatkan pembersihan dan penyediaan kawasan, sistem pengairan, selain input pertanian seperti benih pokok betik, baja dan racun.

"Setiap masjid kita menyediakan antara 50 hingga 100 benih pokok betik. Selain itu, latihan dan pemantauan berkala juga turut diberikan kepada ahli kariah masjid yang mengusahakan tanaman berkenaan.

"Apabila betik telah mengeluarkan hasil kira-kira enam bulan selepas penanaman, terpulang kepada jawatankuasa masjid untuk melaksanakan (agihan hasil) sama ada mereka mahu menginfak atau menjual kepada orang ramai," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program berkenaan di Masjid Al-Lattifiyah, Kampung Loh di sini hari ini.

Norsiyenti berkata pihaknya berharap pengurusan masjid dapat menjana pendapatan dengan menjual betik yang ditanam serta melakukan penanaman secara berulang.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut membantu seramai 1,010 peserta di 101 lokasi melibatkan masjid, surau, pondok dan maahad melalui Program Pertanian Komuniti sejak 2021 sehingga tahun ini.

"Kita berhasrat melalui program sebegini, ia akan merancakkan aktiviti pertanian di masjid yang mampu menarik masyarakat di pelbagai lapisan umur.

"Saya percaya ia akan meningkatkan interaksi sosial antara individu dan komuniti dengan aktiviti pengeluaran makanan yang sihat selain menjaga kelestarian alam sekitar di samping menjana pendapatan di peringkat komuniti masjid," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan