AM

Mangsa Banjir Terpaksa Guna Sampan Tinjau Rumah

09/10/2024 11:22 AM

KLUANG, 9 Okt (Bernama) -- Seorang mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Simpang Renggam di sini sanggup mendayung sampan sejauh hampir 250 meter ke rumahnya setiap hari bagi memastikan keselamatan kediamannya yang ditenggelami banjir sejak Sabtu lepas. 

Misri Salamon, 63, berkata meskipun banjir sudah memasuki hari keempat, namun air yang naik hingga paras pinggang di kawasan kediamannya di Kampung Sungai Linau di sini masih belum surut.

“Selepas beberapa hari, hujan tiada lagi, namun air di kawasan rumah tetap tidak surut. Saya perlu jenguk rumah setiap hari sebab risau ada barangan yang hilang. Pada masa sama perlu ambil pakaian untuk dibawa ke PPS sebagai persalinan.

“Saya perlu gunakan sampan demi keselamatan untuk lihat keadaan rumah. Risau terpijak benda-benda tajam atau ada haiwan berbisa di dalam air,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekitar rumahnya hari ini.

Misri berkata hampir setiap tahun kampung berkenaan akan dinaiki air yang mencecah hingga ke paras lutut.

"Kali ini air naik sangat cepat dan lebih dalam. Sudah masuk hari keempat air masih bertakung, saya bimbang akan jadi banjir termenung," katanya.

Beliau berkata hujan lebat melebihi empat jam pada Sabtu lepas menyebabkan kediamannya dinaiki air sehingga dia sekeluarga terpaksa dipindahkan ke PPS SK Sungai Linau pada keesokan harinya. 

Misri berharap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah itu memandangkan banjir termenung sangat menyukarkan aktiviti harian penduduk.

Pada Isnin lepas, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata taburan hujan yang melebihi biasa sehingga lebih tiga kali ganda dipercayai antara penyebab kejadian banjir di Simpang Renggam. 

Beliau berkata pihaknya difahamkan taburan hujan Ahad lepas mencecah 110 milimeter berbanding paras biasa 30 milimeter. 

Sehingga kini, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata seramai 235 mangsa daripada 61 keluarga ditempatkan di dua PPS di daerah ini iaitu di Dewan Kampung Kolam Air dan SK Sungai Linau. 

Selain Kluang, daerah Pontian turut terjejas banjir dengan 244 penduduk daripada 69 keluarga dipindahkan ke dua PPS dan Batu Pahat pula 17 penduduk daripada tiga keluarga ditempatkan di satu PPS. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan