AM

Masjid As-Solihin Masih Selamat Digunakan Orang Ramai - Pengarah JKR Perlis

09/10/2024 02:39 PM

PADANG BESAR, 9 Okt (Bernama) -- Masjid As-Solihin di Kampung Bawah Bukit, Chuping dekat sini masih selamat untuk digunakan orang ramai setakat ini meskipun berlaku mendapan tanah berbentuk lubang besar di tapak bekas perigi lama dalam kawasan masjid itu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis Ir Norikhwan Abu Seman berkata mendapan itu hanya melibatkan kawasan setempat di tapak bekas perigi lama itu dan pemeriksaan awal pihaknya mendapati tiada sebarang kerosakan atau sebarang mendapan yang berlaku pada struktur bangunan masjid.

"Pemeriksaan visual menunjukkan tiada berlaku sebarang kegagalan struktur dan mendapan pada bangunan masjid. Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengehadkan kawasan larangan hanya di sekitar bekas perigi serta pemantauan pergerakan tanah yang berlaku akan dibuat dari semasa ke semasa.

“Buat masa ini, kami sedang menunggu laporan lanjut daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk penyiasatan tanah yang dijalankan dan memohon orang ramai yang menunaikan solat di masjid ini supaya mengelak untuk masuk ke lokasi mendapan yang telah ditutup laluan.

“Serta melaporkan kepada pihak Jabatan (JKR) sekiranya terdapat perkembangan terbaharu mengenai mendapan yang berlaku ini,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi mendapan tanah itu hari ini.

Semalam, media melaporkan jemaah masjid itu terkejut apabila berlaku mendapan tanah hingga menyebabkan sebuah motosikal hampir tertimbus dalam lubang berkenaan.

Norikhwan berkata maklumat awal mengenai mendapan tanah itu diperoleh pada petang Isnin lepas dan pihak JKR telah membuat tinjauan di kawasan masjid bersama pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs); Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs); Pejabat Pembangunan Persekutuan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan JMG semalam.

Beliau berkata keputusan untuk menutup masjid itu akan dibuat selepas penyiasatan menyeluruh oleh pihak JMG.

"Jika laporan siasatan mendapati kedudukan masjid itu turut berlaku mendapan tanah dan perlu ditutup, masjid ini akan ditutup, sekiranya tidak, kami akan menjalankan pembaikan sewajarnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

TAG:
NSYAH NHAL2 ZHR


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan