AM

Fintech, AI Memerlukan Rangka Kerja Tatakelola Jelas Dan Mantap - ADFIM

09/10/2024 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Peningkatan teknologi kewangan (fintech) dan kecerdasan buatan (AI) dalam dunia yang berubah dengan pantas membawakan peluang dan cabaran, seperti penggunaan AI dalam penilaian kredit yang menimbulkan kebimbangan mengenai bias algoritma dan kemungkinan amalan pemberian pinjaman tidak adil.

Pengerusi Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) Izwan Zainuddin berkata oleh itu, rangka kerja tatakelola yang jelas diperlukan untuk memastikan inovasi yang bertanggungjawab dalam era digital.

“Usaha memanfaatkan kemudahan digital bagi meningkatkan ketelusan seperti tatakelola dalam sistem glance adalah kritikal, untuk navigasi dalam landskap yang berkembang ini,” katanya dalam ucapan pembukaan Persidangan Kebangsaan Integriti dan Tatakelola 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata tatakelola yang mantap penting untuk membina kepercayaan dan keyakinan dalam sektor kewangan, kerana masyarakat dan pelabur menuntut ketelusan dan akauntabiliti dalam semua projek serta program yang dicadangkan.

“Jadi, kita mesti menjadi contoh, menetapkan piawaian tertinggi untuk diri dan industri. Turun naik pasaran baru-baru ini, daripada ketidakstabilan sektor teknologi global hingga kepada kebimbangan mengenai privasi data dan keselamatan siber, telah menonjolkan keperluan kritikal untuk pengurusan risiko yang baik dan amalan etika,” katanya.

Izwan berkata selain itu adalah penting untuk menegakkan nilai-nilai ini, kerana institusi kewangan dan usahawan menghadapi landskap peraturan yang semakin kompleks, selepas pengenalan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 2021.

Beliau berkata amalan terbaik dipertingkatkan ini selaras dengan realiti hari ini, yang memfokuskan kepada kelestarian, kepelbagaian lembaga pengarah, kepelbagaian dan pengawasan pelabur.

“Sebagai tambahan kepada misi kod tadbir urus itu, SC juga sedang mendapatkan maklum balas awam mengenai draf kod tadbir urusnya terutama untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Ini merupakan satu peluang, kerana PMKS menyumbang 97.4 peratus daripada penubuhan perniagaan di negara ini dan memainkan peranan penting dalam ekonomi dan kod seterusnya yang akan dilancarkan tidak lama lagi, akan memberi tumpuan kepada akauntabiliti yang jelas dan pengurusan risiko jangka panjang yang disesuaikan dengan keperluan dan cabaran khusus PMKS,” katanya.

Oleh itu, dengan menghimpunkan pemimpin industri, pegawai kerajaan dan pakar, Izwan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad berharap persidangan selama dua hari itu, akan memberi peluang kerjasama, inovasi dan menetapkan piawaian baru mengenai tatakelola dan integriti dalam kalangan institusi kewangan pembangunan dan pihak berkepentingan berkaitan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan