LABUAN, 9 Okt (Bernama) -- Minat yang semakin meningkat terhadap aset digital dan instrumen kewangan alternatif memacu inovasi dan pertumbuhan dalam sektor kewangan Labuan.
Pengerusi Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) Datuk Iskandar Mohd Nuli berkata, dengan memanfaatkan teknologi blockchain, ia boleh menjadikan transaksi kewangan yang lebih berkesan, membolehkan penyelesaian pembiayaan yang lancar dan tanpa sempadan.
“Menjelang akhir 2023, Labuan IBFC mengalu-alukan sebanyak 105 penyedia perkhidmatan kewangan digital, mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap aset digital.
“Walaupun di sebalik ekonomi global yang tidak menentu seperti inflasi tinggi, mudah tunai terhad, dan peningkatan risiko geopolitik, aktiviti pengumpulan dana merentas sektor kekal teguh,” katanya pada pelancaran platform Exchange Digital Asset AIX di sini hari ini.
Beliau berkata prestasi Labuan IBFC mencerminkan daya tahan ini, dengan jumlah aset bagi pusat itu melonjak sebanyak 220.9 peratus, mencecah US$23 juta.
Iskandar berkata kenaikan dalam nilai aset disokong oleh strategi inovatif dan permintaan yang meningkat terhadap peluang pelaburan yang pelbagai.
Beliau berkata Labuan IBFC kini menjadi hos kepada empat bursa beroperasi, dan pengenalan Asia International Exchange (AIX) baru-baru ini menandakan satu pencapaian penting.
“AIX, dibina pada blockchain dan dikuasakan oleh sistem perdagangan kecerdasan buatan termaju, direka untuk mengeratkan kewangan tradisional dengan ekonomi digital yang berkembang pesat.
“Platform ini memberi ruang yang menyaksikan inovasi, kepercayaan dan rangkuman kewangan berhubungan, justeru meningkatkan peranan Labuan IBFC dalam landskap teknologi kewangan global,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial