KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Schneider Electric hari ini menggesa syarikat-syarikat untuk menilai semula strategi berkaitan tenaga, bagi memastikan mereka dapat mengimbangi kedua-dua bahagian iaitu bekalan (peralihan tenaga) dan permintaan (kecekapan tenaga), yang penting dalam mempercepatkan lagi usaha penyahkarbonan industri di Malaysia.
Presiden Negara Schneider Electric untuk Malaysia Eugene Quah berkata syarikat di Malaysia perlu mempercepatkan usaha kemampanan mereka, dengan memanfaatkan teknologi sedia ada dan memupuk kerjasama merentas sektor.
“Penggunaan tenaga menyumbang kepada hampir 80 peratus pelepasan karbon. Keutamaan segera kami, mestilah dapat memanfaatkan sepenuhnya teknologi yang tersedia untuk mengelak krisis iklim dan memastikan pengagihan dan penggunaan tenaga yang selamat, boleh dipercayai dan mampan.
“Malah, 70 peratus daripada pengeluaran karbon dioxida yang terhasil daripada tenaga, boleh dikurangkan menggunakan teknologi sedia ada. Kita perlu menggabungkan teknologi digital dengan elektrifikasi untuk mencapai kemampanan yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Quah berkata sedemikian pada sesi perbincangan panel pada hari Inovasi Schneider Electric Kuala Lumpur 2024, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Hari Inovasi Schneider Electric 2024 menghimpunkan penceramah pakar daripada sektor termasuk tenaga, kemampanan, IT, minyak dan gas, dan hartanah untuk perbincangan strategi mampan untuk peralihan tenaga, memacu kecekapan tenaga dalam sektor bangunan dan peranan pendigitalan dalam mempercepatkan usaha penyahkarbonan negara.
Quah berkata elektrifikasi adalah salah satu kaedah paling berkesan untuk menangani pelepasan karbon dan gas rumah hijau.
Beliau berkata pendekatan yang dipacu data itu, merangkumi automasi industri, pendigitalan dan teknologi berkembar digital, menawarkan laluan yang jelas kepada matlamat pelepasan sifar bersih 2050 Malaysia.
“Dalam istilah yang lebih mudah, elektrifikasi berkesan menggantikan teknologi yang menggunakan bahan api fosil seperti gas asli, minyak dan arang batu dengan teknologi elektrik.
“Apabila elektrifikasi disepadukan dengan teknologi digital, ia meningkatkan keupayaan untuk mengawal dan mengoptimumkan penggunaan tenaga, membuka kunci tahap kecekapan dan ketepatan baharu dalam mengurus penggunaan tenaga,” katanya.
Quah berkata laporan PricewaterhouseCoopers (PwC) mendedahkan bahawa kadar penyahkarbonan Malaysia berkembang pada hanya 2.5 peratus setahun jauh, di bawah 7.2 peratus yang diperlukan untuk memenuhi sasaran Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) Perjanjian Paris.
“Walaupun 74 peratus CEO di Asia mengatakan bahawa kemampanan menjadi keutamaan tinggi bagi syarikat mereka dalam Tinjauan Jurang Impak Hijau Schneider Electric 2024, mereka menyatakan kematangan alternatif tenaga bersih menjadi penghalang kepada penyahkarbonan dan lebih berkemungkinan untuk melabur dalam langkah kecekapan dan bukannya peralihan.
“Kira-kira 33 peratus syarikat yang ditinjau juga masih menghadapi cabaran dengan keselamatan tenaga dan daya tahan,” katanya.
Beliau berkata walaupun berterusan menghadapi cabaran, Malaysia menyaksikan perkembangan yang memberangsangkan dalam landskap kawal selia dengan pengenalan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA), mewajibkan amalan pengurusan tenaga dalam kalangan pengguna besar, menetapkan asas bagi peraturan bahagian permintaan yang lebih berkesan.
“Bagaimanapun, syarikat juga perlu melabur secara aktif dalam teknologi cekap tenaga, meningkatkan kesedaran merentas semua peringkat organisasi dan bekerjasama dengan penggubal dasar untuk memanfaatkan sepenuhnya peraturan ini dan memacu kemajuan yang bermakna dalam kemampanan.
“Di Schneider Electric, kami bertekad membantu perniagaan memacu peralihan kepada infrastruktur pintar yang menyokong matlamat pembangunan mampan Malaysia. Kami telah mengenal pasti tiga langkah penting - menyusun strategi, mendigitalkan dan menyahkarbon, dengan sepuluh keutamaan berkaitan yang membantu perniagaan pelbagai sektor untuk merapatkan cita-cita dan tindakan sifar karbon mereka,” katanya.
-- BERNAMA
Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial