Oleh Afifitri Muhammad dan Teh Kuan Hong
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa kawasan di utara Semenanjung dan Sabah akan menerima jumlah taburan hujan sedikit di atas purata pada musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal bulan depan.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MetMalaysia Ambun Dindang berkata kawasan seperti Perlis, Kedah, utara Perak, utara Kelantan dan utara Terengganu dijangka menerima jumlah hujan sedikit di atas purata pada Disember ini.
Beliau berkata Bahagian Pantai Barat, Kudat dan Sandakan di Sabah juga mengalami keadaan yang sama pada tempoh Disember ini hingga Februari tahun hadapan manakala Sarawak dijangka menerima jumlah hujan bulanan dalam julat purata.
“Antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan yang disebabkan oleh luruan monsun dijangka diterima oleh negara sepanjang MTL 2024/2025 nanti. Kejadian luruan monsun ini sentiasa dipantau oleh MetMalaysia dan amaran hujan lebat berkaitan akan dikeluarkan apabila tanda-tanda dikesan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Dalam pada itu, Ambun berkata secara klimatologinya MTL di Malaysia dijangka bermula pada awal November ini dan berterusan hingga Mac 2025 tetapi tarikh sebenar permulaan MTL hanya akan diumumkan dalam tempoh tiga hari lebih awal setelah kriteria yang telah ditetapkan dipenuhi.
“MetMalaysia juga menggunakan pelbagai medium seperti laman sesawang, media sosial (Facebook, Instagram, X dan Youtube), media elektronik (TV dan Radio), media cetak serta aplikasi mobil myCuaca untuk menyampaikan maklumat dan amaran cuaca negara,” katanya.
Ambun berkata Perkomputeran Berprestasi Tinggi (HPC) MetMalaysia sedia ada juga dalam proses dinaik taraf bagi membolehkan agensi itu mengeluarkan ramalan cuaca melebihi tujuh hari ke hadapan berbanding tujuh hari ketika ini.
“Dengan siapnya projek ini yang dijangka boleh dioperasikan pada 2026, MetMalaysia akan mampu menghasilkan ramalan cuaca hingga 14 hari ke hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata agensi itu bersama agensi lain sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang bencana dan tidak terhad pada musim tertentu sahaja.
“Pemantauan mengenai sebarang kebarangkalian berlaku bencana sentiasa dilaksanakan secara bersama dengan Sekretariat Bencana Daerah dan Negeri manakala agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geologi (JMG) pula akan membuat pemantauan pada cerun yang kritikal dan berisiko,” katanya.
Selain itu, Khairul Shahril berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) telah mengenal pasti 5,648 “hotspot” banjir di seluruh negara setakat 5 Sept tahun ini.
Beliau berkata bagi mengukuhkan usaha mengurangkan risiko bencana, NADMA juga telah melancarkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 pada 3 Okt lepas yang menjadi panduan kepada semua pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan, badan korporat dan komuniti.
“Melalui dasar tersebut, kesemua pihak berkepentingan dapat membuat koordinasi yang lebih jelas dan tersusun untuk mengurangkan risiko, meminimumkan impak bencana sekali gus mewujudkan negara yang berdaya tahan,” katanya.
Beliau juga menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dikeluarkan MetMalaysia.
“Sentiasa peka dan patuh kepada arahan pihak berkuasa sekiranya perlu untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Utamakan keselamatan, lindungi diri dan orang tersayang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial