KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Ketua Jurulatih I. Vikneswaran tidak mahu memberikan tekanan kepada skuad hoki remaja lelaki kebangsaan pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor dari 19 hingga 26 Okt ini.
Bagaimanapun, beliau menggesa anak buahnya mempamerkan aksi bermaruah dan membanggakan pada edisi ke-12 kejohanan itu sebagai persediaan menghadapi Piala Remaja Asia 2024, November ini yang juga kelayakan ke Piala Dunia Remaja 2025.
“Secara peribadi, mesti saya nak yang terbaik di SOJC 2024 tapi kita ambil satu langkah ke satu langkah. Kita perlu bermain secara terhormat dan membanggakan, namun tidak beri (tekanan yang tidak perlu) kepada pemain dan diri sendiri.
“Sudah tentu tekanan sangat penting kerana disebabkan tekananlah kita berjaya, tetapi tekanan itu di bawah kawalan kita.
“Sebagai contoh tekanan pukulan sudut penalti adalah sesuatu yang kita boleh uruskan, tetapi tekanan yang tidak perlu adalah di luar kawalan kita,” katanya kepada pemberita selepas sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Vikneswaran memaklumkan SOJC 2024 akan menjadi platform pertama anak buahnya yang memulakan latihan pusat pada awal September lepas.
Selain itu, ini juga adalah perlawanan kompetitif pertama selepas hanya bermain dalam perlawanan persahabatan sebelum ini.
Beliau berkata lebih adil untuk menetapkan sasaran kepada anak buahnya pada Piala Remaja Asia 2024 berdasarkan prestasi yang ditunjukkan mereka dalam SOJC 2024.
“Yang dihantar pada 2024 SOJC adalah 20 pemain terbaik yang dikenal pasti, namun kita akan nilai semula sama ada mereka boleh mengatasi situasi tekanan untuk dihantar ke Piala Remaja Asia 2024 nanti,” katanya.
Ditanya mengenai kehadiran legenda hoki Pakistan Sohail Abbas yang disenaraikan sebagai penolong jurulatih untuk SOJC 2024, Vikneswaran berkata impak daripada pemegang rekod penjaring terbanyak dunia itu pasti akan membantu pasukan menghadapi kejohanan tersebut.
Namun, beliau mengakui sukar untuk melakukan perubahan besar dalam pasukan kerana Sohail baru sahaja menyertai Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada awal Oktober lepas.
“Setakat ini, kita sudah buat tiga sesi latihan dengan Sohail, dan nanti beliau boleh bantu untuk memastikan setiap percubaan pukulan sudut penalti mampu menghasilkan gol. Dalam pertandingan ini, kita ada lima pasukan yang bukan calang-calang.
“Tapi saya percaya dengan pemain sendiri sebab mereka ada semangat juang yang tidak mudah menyerah kalah. Namun,sekarang ini bagaimana kita nak mencaturkan semua ini sebagai satu unit supaya bergerak secara berkesan,” katanya.
Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan akan menghadapi pusingan ‘round robin’ SOJC 2024 bertemu New Zealand pada 19 Okt, diikuti Jepun (20 Okt), India (22 Okt), Great Britain (23 Okt) dan menutup saingan dengan bertemu Australia pada 25 Okt.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial