AM

Kajian Mengenai Kenyataan Berbaur Kebencian Cadang Penggubalan Undang-undang Dan Pendidikan Awam - Aaron

11/10/2024 12:49 PM

PUTRAJAYA, 11 Okt (Bernama) -- Penggubalan dasar dan undang-undang yang mengawal penyebaran kenyataan berbaur kebencian merupakan antara penemuan Kajian Mengenai Kenyataan Berbaur Kebencian di Malaysia, yang dijalankan dari 7 Dis 2023 hingga 6 Jun lepas, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata penemuan lain termasuk pengenalan pendidikan awam dan kempen kesedaran untuk mendidik masyarakat tentang bahaya kenyataan berbaur kebencian, serta pelaksanaan program pendidikan khas untuk pengamal media, termasuk wartawan dan pengurus media.

“Penerapan hasil kajian ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan komitmen berterusan.

“Dengan langkah-langkah yang sesuai, kerajaan dapat memastikan masyarakat hidup dalam persekitaran yang lebih harmoni dan bebas dari kenyataan berbaur kebencian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aaron berkata secara praktikal, hasil kajian yang mengambil masa selama enam bulan itu mencadangkan sembilan domain iaitu institusi pendidikan, keluarga, institusi keagamaan, dasar pemerintah, undang-undang negara, penguatkuasaan, kepimpinan, badan bukan kerajaan (NGO) dan aspek pengunaan media sosial.

Katanya kesemua domain itu perlu diberikan perhatian utama dalam usaha proaktif untuk menangani dan membendung sebarang bentuk kenyataan berbaur kebencian.

Aaron berkata isu mengenai kenyataan berbaur kebencian menjadi semakin penting, kritikal dan serius seiring dengan perkembangan landskap kemajuan teknologi digital dan informasi terkini serta didorong oleh peningkatan penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Menurutnya, media sosial bukan sahaja menjadi platform utama bagi tujuan komunikasi dan interaksi sosial, malah telah menjadi medium penyebaran dan penularan kenyataan berbaur kebencian.

Susulan itu katanya, kerajaan mengambil inisiatif melaksanakan kajian tersebut secara komprehensif yang memfokuskan kepada kenyataan berbaur kebencian yang berlaku di Malaysia tanpa melibatkan isu berkaitan dengan kebebasan bersuara.

Aaron berkata kajian yang dijalankan oleh Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta UPM Consultancy and Services Sdn Bhd ini menumpukan kepada pencapaian empat objektif utama.

Antaranya termasuk mengenal pasti tahap kefahaman masyarakat mengenai kenyataan berbaur kebencian di media sosial dan mengkaji kesan kenyataan tersebut terhadap hubungan serta ketegangan etnik atau agama di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan