EKONOMI

Tealive Berkembang Ke Timur Tengah, Bekerjasama Dengan Konglomerat Dari Dubai

11/10/2024 01:50 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Loob Holding Sdn Bhd, pemilik jenama teh Tealive, menandatangani perjanjian francais induk dengan konglomerat terkemuka dari Dubai, Eureka Restaurant and Café untuk membawa jenama itu ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Bryan Loo berkata pasaran UAE sangat menarik dengan landskap makanan dan minuman yang pesat berkembang.

“Bekerjasama dengan Eureka menjadi kunci untuk membawa pengalaman minuman Tealive ke UAE, dengan menggabungkan inovasi kami bersama budaya tempatan.

“Kami yakin bahawa kerjasama ini akan menjadi batu loncatan kepada kejayaan pengembangan cawangan Tealive di Timur Tengah,” katanya dalam kenyataan.

Eureka Restaurant and Café diwakili oleh pengasas kumpulan Abdulwahab Ilyas Galadari, yang juga ahli Lembaga Pengarah Ilyas & Mustafa Galadari (IMG) Group.

IMG Group dan Eureka Restaurant and Cafe merupakan konglomerat keluarga dari legasi keluarga Galadari, yang terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk taman tema, makanan dan minuman, teknologi, perdagangan, komoditi dan pelaburan.

Sementara itu, Galadari berkata pihaknya melihat potensi besar untuk jenama ini berkembang dan bersama-sama dengan Loob, ia berhasrat menjadikan Tealive sebagai jenama teh boba pilihan utama di rantau ini.

“Fasa pertama pengembangan akan tertumpu di bandar-bandar utama, bermula dengan pembukaan kedai pertama di Dubai pada awal 2025, diikuti empat lagi cawangan di bandar-bandar utama UAE pada tahun pertama beroperasi,” katanya.

Ini merupakan langkah pertama Tealive memasuki pasaran Timur Tengah yang berpotensi besar, selepas kejayaan memasuki pasaran Afrika dan Amerika Utara dalam tempoh dua tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan