AM

Inisiatif Melaka Tanpa Tunai Platform Ke Arah Negeri Berdigital

11/10/2024 02:46 PM

MELAKA, 11 Okt (Bernama) -- Sebanyak 1,500 peniaga dan pemain industri disasar menyertai program “Melaka Tanpa Tunai” dalam usaha ke arah mentransformasi Melaka sebagai negeri berdigital.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata setakat ini inisiatif transaksi tanpa wang tunai itu menerima penyertaan sangat memuaskan dan akan diteruskan pada masa hadapan dengan merangkumi peniaga kecil dan pasar malam di seluruh negeri ini. 

"Pastinya kita menyasarkan lebih 50 peratus ahli perniagaan dan usahawan negeri ini menggunakan program Melaka Tanpa Tunai termasuk di pasar malam, agensi kerajaan dan urusan di kaunter kerajaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa dan Pameran Smart Melaka (SMIX 2024) di sini hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata Melaka juga bakal ditransformasi menjadi sebuah bandar raya warisan dunia serba canggih dan pintar yang merupakan antara misi pentadbiran kerajaan negeri kini. 

Justeru, Ab Rauf berkata pelbagai inisiatif dalam bidang digital telah diperkenalkan antaranya Kampung Digital, Smart Parking Melaka dan beberapa lagi produk baharu. 

“Selain itu, kita juga telah memperkenalkan saluran Telegram MyMelaka News yang menjadi medium hebahan segala maklumat berkaitan pentadbiran kerajaan Negeri.

"Dalam masa yang sama sistem Rakyat Melaka juga diperkenalkan bagi membolehkan rakyat menebus tiket percuma di produk pelancongan terpilih selain emel khas dengan domain @melaka.my bakal dilancarkan yang menjadi platform untuk rakyat memberikan apa jua cadangan, komen atau pandangan bagi penambahbaikan sistem pentadbiran kerajaan negeri," katanya.

Terdahulu, Ab Rauf turut melancarkan “MCMC Microsoft AI TEACH Programs” yang bakal mendedahkan ilmu kecerdasan buatan (AI) secara percuma kepada 500 peserta di negeri ini serta menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara MICTH dan Maxis dalam menambah baik sambungan digital di negeri ini.

Selain itu, projek usahasama antara TM One dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bagi membangunkan “Local Urban Observatory (LUO) Smar Solution” iaitu platform memantau dan menilai pembangunan bandar.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan