AM

Sekolah Di Johor Laksana Cuti Sabtu, Ahad Sebelum Sesi Persekolahan 2024/2025 Berakhir

11/10/2024 03:08 PM

KOTA TINGGI, 11 Okt (Bernama) -- Sekolah di bawah Kementerian Pendidikan di Johor akan melaksanakan cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad sebelum cuti akhir persekolahan sesi 2024/2025 bermula 18 Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata perubahan cuti berkenaan akan membabitkan 583,373 murid dan lebih 48,000 guru di bawah Kementerian Pendidikan.

“Bila sudah diumumkan 1 Jan (pelaksanaan cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad) kena ikut dengan tarikh berkenaan cuti itu. Jadi ia (pelaksanaan) akan diteruskan, mungkin boleh praktikal dulu pada bulan pertama dari pengurusan pembelajaran dan pengangkutan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Literasi Undang-Undang di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Aznan berkata satu mesyuarat penyelarasan juga telah dibuat antara Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berhubung pelaksanaan cuti hujung minggu berkenaan.

“Dalam masyuarat bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri Mohd Fared Mohd Khalid, kita bincangkan bagaimana pengurusan pelajar sekolah.

“Kita akan sentiasa bekerjasama dengan JPNJ dan Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) bantu dari segi prosedur untuk anak-anak bersekolah,” katanya.

Hasil mesyuarat dan kaedah penyelarasan akan dibentangkan kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dipersembahkan kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, tambah beliau.

Isnin lepas, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar cuti hujung minggu di negeri ini ditukar kembali kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari depan dan perkara itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada JAINJ.

Pada 2014, cuti hujung minggu Johor telah ditukar kepada Jumaat dan Sabtu susulan titah Sultan Ibrahim yang menitahkan pertukaran cuti itu.

Selain Johor, negeri yang melaksanakan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu ketika ini ialah Kedah, Terengganu dan Kelantan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan