AM

Projek Tebatan Banjir, Rawatan Air Di Kelantan Sentiasa Jadi Fokus Kerajaan Persekutuan

11/10/2024 03:36 PM

BACHOK, 11 Okt (Bernama) -- Projek tebatan banjir dan rawatan air di Kelantan akan sentiasa menjadi fokus Kerajaan Persekutuan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata semua projek berkenaan sedang berjalan dan disiapkan.

"Saya dapat makluman bahawa projek tebatan banjir ada masalah (kontraktor) kita akan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu agar pelaksanaannya dapat disiapkan mengikut apa yang kita rancangkan,” katanya pada majlis penyerahan Projek Siap Hospital Bachok, di sini, hari ini.

Fadillah berkata kelewatan menyiapkan projek berkenaan sudah pasti mendatangkan risiko banjir pada masa akan datang dan pihaknya perlu mencari jalan untuk mempercepatkannya.

“Saya akan turun semula ke Kelantan pada masa akan datang bagi menyelesaikan masalah banjir memandangkan negeri ini turut terjejas banjir pada setiap tahun.

"Insya-Allah saya akan berbincang dengan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah ini dan daripada makluman terdapat masalah tanah malah kita akan menyelesaikan masalah kontraktor bagi pelaksanaan projek itu," katanya.

Projek pembinaan Hospital Bachok yang menelan kos RM71.3 juta dijangka beroperasi bulan depan dan dilaporkan terbengkalai sejak 2017.

Hospital Bachok antaranya mempunyai blok bangunan tiga tingkat itu turut meliputi 76 katil, dua bilik pembedahan, klinik pakar, wad bersalin dan forensik sertal makmal dan ruang dialisis yang bakal memberi perkhidmatan kepada 160,000 penduduk di jajahan itu.

Hospital yang dibina atas di tanah seluas 20.3 hektar telah diserahkan Jabatan Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan pada Ogos lepas selepas pembinaan siap pada Julai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan