EKONOMI

Nilai Jualan Pembuatan Ogos Meningkat 7.7 Peratus Kepada RM163.9 Bilion - Jabatan Perangkaan

11/10/2024 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Nilai jualan sektor Pembuatan berjumlah RM163.9 bilion pada Ogos 2024, menunjukkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 7.7 peratus berbanding penurunan 3.3 peratus pada bulan yang sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

Bagaimanapun, nilai jualan sektor itu menyederhana berbanding pertumbuhan 9.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan ini disumbang sebahagian besarnya daripada pertumbuhan dua digit yang direkodkan dalam sub-sektor makanan, minuman dan tembakau, dan produk elektrik dan elektronik, masing-masing pada 16.1 peratus (Julai 2024: 16.0 peratus) dan 10.4 peratus (Julai 2014: 8.2 peratus). 

“Berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan tumbuh sebanyak 4.4 peratus selepas peningkatan sebelumnya sebanyak 0.6 peratus berjumlah RM157.1 bilion pada Julai 2024 apabila nilai jualan berjumlah RM157.1 bilion,” katanya dalam laporan Perangkaan Pembuatan Bulanan Ogos, yang dikeluarkan hari ini.  

Mohd Uzir juga berkata industri berorientasikan eksport yang mewakili 72.7 peratus daripada jumlah nilai jualan, tumbuh 7.8 peratus pada Ogos 2024, peningkatan sederhana daripada 9.4 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Prestasi ini dipengaruh terutamanya oleh peningkatan dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (12.0 peratus), pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (23.3 peratus) dan pembuatan produk getah (11.6 peratus). 

Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan industri berorientasikan eksport pulih kepada 5.0 peratus daripada penurunan sedikit sebanyak 0.5 peratus pada Julai 2024.

Begitu juga, katanya, industri berorientasikan domestik berkembang 7.6 peratus (Julai 2024: 8.4 peratus), dipacu terutamanya oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler pada 10.4 peratus, diikuti pembuatan produk pemprosesan makanan (7.5 peratus) dan pembuatan produk logam  direka, kecuali mesin dan kelengkapan (9.7 peratus).

Bagi perbandingan secara bulanan, nilai jualan industri berorientasikan domestik terus meningkat dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus (Julai 2024: 3.7 peratus).

Mohd Uzir juga berkata terdapat 2.38 juta pekerja terlibat dalam sektor pembuatan pada Ogos 2024, meningkat 1.0 peratus (Julai 2024: 1.3 peratus) berbanding setahun lalu.

“Pertumbuhan itu sebahagian besarnya disumbang oleh makanan, minuman dan tembakau (3.9 peratus), kayu, perabot, produk kertas dan percetakan (1.1 peratus) dan  tekstil, pakaian, kulit dan kasut (1.5 peratus).

“Berbanding bulan sebelumnya, bilangan pekerja dalam sektor ini meningkat sebanyak 0.4 peratus (Julai 2024: - 0.01 peratus),” katanya.

Selaras dengan peningkatan bilangan pekerja, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan meningkat sebanyak 1.5 peratus, mencecah jumlah RM8.12 bilion

“Ini menjadikan kenaikan purata gaji dan upah bulanan setiap pekerja adalah sebanyak 0.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3,417 (Julai 2024: 1.2 peratus; RM3,429). Dengan itu, nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat sebanyak 6.7 peratus untuk merekodkan RM66,950 (Julai 2024: 7.8 peratus; RM66,285),” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, nilai jualan kumulatif sektor pembuatan mencecah RM1,242.6 bilion, meningkat 4.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023 (Januari - Ogos 2023: RM1,184.7 bilion; 1.7 peratus)

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan