AM

PKKI 2024 Bantu Koperator India Perkasa Koperasi

11/10/2024 07:34 PM

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Seramai 800 peserta terdiri daripada koperator komuniti India dari seluruh negara akan menyertai Persidangan Koperasi Komuniti India (PKKI) 2024, Ahad ini.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan, Datuk B. Anbumani berkata persidangan sehari itu akan diadakan di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini.

Beliau berkata ia bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti India untuk mendapatkan maklumat berkenaan inisiatif dan insentif disediakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta agensi lain dalam memperkasakan gerakan koperasi negara.

Anbumani berkata sehingga kini terdapat 416 koperasi komuniti India yang berdaftar di seluruh negara dan daripada jumlah itu hanya 200 koperasi yang aktif 

“Walaupun pendaftaran tinggi tetapi separuh daripadanya tidak aktif dan ini disebabkan mereka tidak mendapat pendedahan bagaimana menguruskan koperasi sekali gus terlepas menikmati kemudahan yang disediakan oleh SKM, sebab itu kita adakan persidangan ini," katanya kepada Bernama. 

Antara pengisian PKKI 2024 ialah sesi pembentangan isu, cabaran, hala tuju dan peningkatan daya saing koperasi komuniti India, dialog bersama Timbalan Menteri KUSKOP serta anugerah kepada koperasi terbaik.

Selain itu, Anbumani berkata Ramanan juga bakal mengumumkan berita baik kepada komuniti India sebagai usaha memperkasakan dan memperkukuhkan ekonomi mereka melalui aspek koperasi. 

“Pada persidangan ini Timbalan Menteri KUSKOP akan buat kejutan dengan mengumumkan berita baik kepada koperasi komuniti India sebagai inisiatif yang membolehkan mereka bergerak lebih aktif, mendapat pulangan dan memperoleh kejayaan cemerlang sekali gus membawa komuniti ke tahap lebih baik,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan