AM

Petani Gesa Sistem Pengairan Sawah Segera Dinaik Taraf

11/10/2024 05:37 PM

ALOR SETAR, 11 Okt (Bernama) -- Sistem saliran dan pengairan yang meliputi empat wilayah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah perlu segera dinaik taraf bagi mengelakkan banjir ‘temenung’ yang menenggelamkan kawasan sawah padi di negeri ini.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Abdul Rashid Yob berkata banjir kali ini lebih teruk berbanding 2010 selain tidak menolak kemungkinan sistem pengairan yang ‘uzur’ menjadi punca lebih 6,000 hektar sawah padi di bawah seliaan MADA tenggelam dan digenangi air.

“Di Kedah infrastruktur pengairan perlu dinaik taraf...banjir dah masuk gelombang ketiga dan di sesetengah kawasan dah sebulan air tak kering lagi. Sawah yang tenggelam di MADA mencecah lebih 6,000 hektar yang tentunya kerugian besar kepada petani.

“Inilah pentingnya saliran ini ditingkatkan, dicuci dan didalamkan atau dilebarkan terutama di kawasan yang selalu banjir supaya air dapat mengalir laju dan kerosakkan padi pada tahap paling minimum.

“Saya harap peruntukan pertanian melalui Belanjawan 2025 nanti dimanfaatkan sepenuhnya dan MADA bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat bekerjasama dalam masalah ini supaya tiada lagi hasil petani yang terjejas setiap kali banjir,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata pihaknya juga memohon kepada kerajaan agar harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 per tan metrik bagi membantu petani menghadapi kos operasi tanaman padi yang meningkat.

“Harga lantai belian padi semasa RM1,300 per tan metrik...ada pengilang janji beli RM1,800 per tan metrik tapi akhirnya turun RM1,450 per tan metrik. Sedangkan kos sewa jentera menuai dan membajak makin naik, dengan kos lain lagi,” katanya.

Sementara itu, pesawah Masliza Md Desa, 49, dari Langgar di sini yang mengusahakan sekitar tiga hektar sawah berkata harga lantai belian padi yang rendah tidak memberi keuntungan kepada petani yang perlu mengeluarkan kos tinggi bagi mengusahakan sawah mereka.

“Kami bergantung hidup dengan tanaman padi, saya dari golongan muda nak cuba mentransformasi tanaman padi ini tapi kalau keadaannya seperti ini orang muda pun tak semangat untuk usahakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan