PUTRAJAYA, 11 Okt (Bernama) -- Jumlah kes demam denggi menurun kepada 1,639 kes pada Minggu Epidemiologi ke-40 (ME40) iaitu bagi tempoh 29 Sept hingga 5 Okt lepas berbanding 1,760 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.
Dalam kenyataan mengenai situasi demam denggi di Malaysia hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata tiga kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME40.
Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME40 adalah sebanyak 105,149 kes berbanding 91,910 kes bagi tempoh sama pada 2023.
“Terdapat 95 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 67 kematian bagi tempoh yang sama pada 2023,” katanya.
Dr Muhammad Radzi berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME40 adalah sebanyak 35 lokaliti berbanding 33 pada minggu sebelumnya.
Daripada 35 lokaliti dilaporkan, 26 adalah di Selangor, Pulau Pinang (empat), Negeri Sembilan (dua) manakala masing-masing satu di Johor, Kelantan dan Sabah.
Bagi survelan chikungunya, beliau berkata terdapat dua kes direkodkan pada ME40.
“Jumlah kumulatif kes chikungunya setakat ini adalah 78 kes. Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME40.
“Bagi survelan zika sebanyak 2,081 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cairan serebrospinal telah dijalankan saringan zika dengan keputusan adalah negatif,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial